Selasa, 15 Ogos 2017 | 10:06pm
PASUKAN Chinlone negara menjalani latihan bagi menghadapi pasukan lawan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Iskandar tekad bantu Malaysia julang emas pertama

KUALA LUMPUR: Seiring dengan semangat juangnya sebagai anggota tentera udara, Iskandar Zulkarnain Salim akan memastikan pingat emas pertama Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dapat dijelmakan daripada pasukan chinlone yang akan beraksi esok.

Iskandar yang akan beraksi dalam acara linking berkata, temasya kali ini lebih istimewa kerana buat julung kalinya dia mewakili negara di temasya dwi tahunan itu serta dapat beraksi di depan keluarga dan kenalan.

"Dalam permainan ini, kami sentiasa perlukan ketenangan, namun kami perlukan sokongan penonton. Diharapkan ramai yang akan memberikan sokongan di Stadium Titiwangsa esok biarpun ramai yang tidak mengetahui permainan chinlone yang berasal dari Myanmar ini.

"Jika kami dapat memberikan emas pembukaan esok, atlet negara yang lain akan lebih bersemangat untuk memastikan negara muncul juara keseluruhan," kata atlet berumur 26 tahun itu.

Atlet berasal dari Kuala Lumpur itu menegaskan, kelebihan pasukan negara terletak kepada persefahaman di kalangan rakan sepasukan yang ditubuhkan sejak tahun lalu.

"Kalau nak cakap tak gementar langsung tipulah, tetapi dalam latihan hari ini kami dapat merakam mata terbanyak 206 mata berbanding selalunya kami memperoleh 190 mata.

"Diharapkan kerja keras selama ini akan membantu menghasilkan kejayaan yang dinantikan rakyat Malaysia," katanya.

Dalam acara linking yang mempertaruhkan pingat emas pertama dalam temasya kali ini, Malaysia akan berdepan Filipina dan Brunei saja.

Permainan linking membabitkan enam pemain dan dua simpanan yang akan bermain dengan konsep seperti permainan sepak raga bulatan.

Pemain akan diuji dengan kemahiran sentuhan sebelum menghantar bola kepada rakan sepasukan di sebelah bagi mengumpul mata terbanyak dalam masa 10 minit. Setiap pasukan akan beraksi dua set.

Berita Harian X