Selasa, 15 Ogos 2017 | 7:42pm
KETUA Jurulatih Perseorangan Wanita, Tey Seu Bock. - Foto Goh Thean Howes

Jangan bawa masalah peribadi ke gelanggang

KUALA LUMPUR: Tey Seu Bock mengakui dia sibuk mempersiapkan dua tonggaknya dalam acara individu, Soniia Cheah dan Goh Jin Wei menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 walaupun sedar bakal berdepan laluan sukar menentang wakil Indonesia dan Thailand.

Ketua Jurulatih Perseorangan Wanita itu berkata, ketika ini, persiapan pemain termasuk dua dalam acara berpasukan - Ho Yen Mei dan Lee Ying Ying berjalan lancar terutama selepas melalui Kem Bina Semangat di Bukit Fraser, minggu lalu.

"Tahap pemulihan kecederaan Jin Wei juga semakin bagus dan dia melalui latihan dengan cukup baik.

"Begitu juga Soniia, ketika ini, saya hanya perlu memperkuatkan mentalnya saja kerana dia mudah berasa tertekan," kata Seu Bock.

Jelasnya, peluang yang ada ini akan digunakan sebaik mungkin untuk mendekatkan diri dengan pemain termasuk mengetahui apa masalah yang dihadapi agar tidak terbawa-bawa ke dalam gelanggang.

"Saya perlu berbincang dengan Soniia kerana dia dilihat agak tertekan jika bermain di kejohanan besar. Jadi saya perlu tahu sebabnya kerana dalam aspek lain, saya rasa semua semakin bagus.

"Kita bukannya berbincang mengenai sasaran pingat kerana tidak mahu memberi tekanan. Kita sedar peluang mereka di Sukan SEA ini bukannya mudah dan paling penting ialah keadaan sebenar ketika pertandingan," kata bekas pemain perseorangan lelaki negara itu.

Baginya, jika pemainnya berjaya mempamerkan aksi seperti biasa, ia bukan satu masalah besar untuk berdepan pemain ternama - Hanna Ramadini, Dinar Dyah Ayustine, Fitriani, Gregoria Mariska Tunjung (Indonesia), Busanan Ongbamrungphan serta Nitchaon Jindapol (Thailand).

"Saya lihat kecederaan Jin Wei semakin pulih dan dia tidak mengadu berasa sakit. Bagaimanapun, dia mungkin masih lagi berasa gusar atau takut kecederaan berulang kembali," kata Seu Bock.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara perseorangan wanita ialah melalui Datin Wong Mew Choo di Vietnam pada 2003.

Acara badminton yang akan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil akan berlangsung dari 22 hingga 27 Ogos dengan menawarkan tujuh pingat emas.

end

Berita Harian X