Selasa, 15 Ogos 2017 | 7:39pm
PASUKAN Chinlone negara ketika sesi latihan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Debaran pingat emas pertama esok

KUALA LUMPUR: "Laksanakan yang terbaik, keputusan akan hadir," kata Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Marina Chin dalam pertemuan dengan atlet chinlone negara - yang disandarkan harapan meraih pingat emas pertama, esok.

Ketika menyampaikan amanat terakhir kepada atlet negara menjelang perebutan pingat pertama esok, Marina mengingatkan mereka supaya meningkatkan keyakinan dan mempamerkan semangat juang tinggi.

"Jika mereka menang pingat emas, baguslah tetapi bagi saya yang lebih penting semangat yang dipamerkan," katanya di hotel penginapan kontinjen negara di sini, hari ini.

Marina tidak mahu atlet negara terlalu yakin dengan kemenangan esok kerana bimbang perkara itu akan menjejaskan tumpuan mereka.

"Saya nampak mereka seronok, semangat tinggi, tetapi bagi saya keyakinan itu sedikit sebanyak perlu ada. Saya tak nampak yang mereka terlebih yakin," katanya.

Chinlone adalah pertandingan menimbang bola takraw mengikut disiplin serta kategori membabitkan enam pemain yang beraksi dalam bulatan.

Kiraan matanya pula diraih menerusi setiap timbangan sempurna oleh setiap pemain dalam masa 10 minit.

Untuk temasya kali ini, Malaysia akan menyertai semua empat kategori yang dipertandingkan dalam acara chinlone iaitu 'non-repetition (primary), same stroke, linking dan non-repetition (secondary) manakala negara lain hanya dibenarkan sertai dua kategori saja.

Acara memanah juga akan membuka tirainya esok dengan menawarkan dua pingat emas dan bakal menjadi pertaruhan kontinjen negara untuk menyumbang emas pertama menerusi acara memanah compound individu lelaki dan wanita.

Dalam perkembangan lain - mengenai rayuan bapa atlet pecut 4x100m negara, S Komalam Shally yang digugurkan baru-baru ini, M Selvaretnam, Marina berharap atlet itu memandang ke depan dan tidak lagi memikirkan soal pengguguran itu.

"Bagi saya sudah terlambat, kes sudah tamat.

"Mungkin dia perlu fokus masa depan sebab tak masuk Sukan SEA kali ini tak bermaksud dia tidak akan dipertimbangkan mewakili Malaysia di lain masa," katanya.

Berita Harian X