Isnin, 14 Ogos 2017 | 8:22pm
PASUKAN Chinlone negara menjalani latihan bagi menghadapi pasukan lawan pada Rabu ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Skuad chinlone positif beri emas pertama Malaysia

KUALA LUMPUR: Kejayaan mengumpul sehingga 200 mata menerusi acara linking ketika latihan, memberikan keyakinan tinggi kepada skuad chinlone negara untuk memastikan emas pertama kontinjen Malaysia pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (L2017) di Stadium Tertutup Titiwangsa, Rabu.

Kapten pasukan, Izuan Afendi Azlan berkata kemampuan mengumpul sekurang-kurangnya 200 mata pada sesi itu sejak beberapa hari lalu amat menggembirakan kerana ia boleh dikira mampu berada sebaris dengan Myanmar selaku kuasa besar sukan ini.

"Kami sudah mampu menghampiri dan menyamai mata yang diraih Myanmar dalam sesi latihan sejak beberapa hari lalu. Pungutan sekurang-kurangnya 200 mata selalu memberikan emas kepada Myanmar.

"Jadi secara tidak langsung ia memberikan keyakinan yang besar kepada kami ketika saingan semakin hampir," katanya.

Sukan tradisional Myanmar berkenaan dijangka menghadiahkan emas pertama kepada kontinjen negara dengan saingan dijadualkan berakhir pada tengah hari.

Acara linking akan membabitkan persaingan tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Filipina.

Tiga lagi acara chinlone yang dipertandingkan adalah same stroke, non-repetition primary dan non-repetition secondry.

Acara ini membabitkan enam pemain dengan setiap individu perlu menimbang bola seperti takraw dengan enam sentuhan berbeza bagi mengutip mata dalam tempoh masa yang ditetapkan.

"Sudah tentu terdapat sedikit tekanan apabila beraksi di tempat sendiri, namun kami sudah bersedia untuk meraih emas pertama negara," katanya.

Berita Harian X