Jumaat, 4 Ogos 2017 | 9:44pm
KHAIRUL Hafiz Jantan (dua kanan), Badrol Hisyam Abdul Manap (kanan) mungkin sertai acara 4x400 meter lelaki pada KL2017. - Foto Luqman Hakim Zubir

KL2017: Khairul, Badrul mungkin disenarai 4x400m

KUALA LUMPUR: Khidmat dua atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manaf kemungkinan besar ditagih bagi memperkuatkan kuartet 4x400 meter negara pada saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Bagaimanapun, penyertaan kedua-dua atlet berkenaan bergantung kepada tahap kecergasan masing-masing memandangkan mereka juga akan beraksi dalam acara 100m, 200m dan 4x100m.

"Nama mereka memang ada disenaraikan untuk acara 4x400m. Kehadiran mereka pastinya menguatkan lagi kuartet Malaysia dan sudah pasti peluang untuk menang pingat lebih cerah.

"Ini sebenarnya boleh dikatakan senjata rahsia tetapi apa pun sama ada mereka akan sertai kuartet 4x400m atau sebaliknya bergantung kepada keadaan fizikal dan kecergasan.

"Khairul Hafiz dan Badrul mempunyai catatan yang sangat baik dalam acara pecut dan itu membuatkan mereka sangat sesuai untuk acara 4x400m," kata seorang sumber.

Empat pelari yang sah akan menyertai acara berkenaan ialah Muhammad Azam Masri, Mohd Arif Zulhilmi Alet, Muhammad Saiful Safwan Saifuddin dan Mohd Fairol Nazim Mohd Noor.

Kuartet berkenaan dilihat berada pada tahap prestasi terbaik menjelang KL2017 selepas berjaya memenangi pingat emas pada saingan Terbuka Vietnam bulan lalu dengan catatan 3 minit 10 saat.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas acara 4x400m adalah pada Sukan SEA Korat 2007 menerusi kuartet dibarisi Mohd Zafril Mohd Zuslaini, Mohd Zaiful Zainal Abidin, Subramaniam Thipan dan Krishnan Amran Raj.

Pada Sukan SEA Palembang 2011, kuartet negara dibarisi S Kannathasan, P Yuvaraaj, Schzuan Ahmad Rosely dan Mohd Yunus Lasaleh melakar kejutan memenangi emas tetapi pingat berkenaan ditarik balik selepas Yunus disahkan gagal dalam ujian anti doping.

Berita Harian X