Jumaat, 4 Ogos 2017 | 8:43pm
AKSI Rachel Arnold (kiri) ketika menentang Datuk Nicol Ann David di Kompleks Squash Jalan Duta, 26 Mei lalu. - Foto Luqman Hakim Zubir

KL2017: Cedera tak halang Rachel pertahan emas skuasy

KUALA LUMPUR: Penyandang pingat emas Sukan SEA, Rachel Arnold terpaksa menarik diri daripada aksi suku akhir Kejuaraan Skuasy Beregu Dunia di Manchester selepas dipalit kecederaan.

Begitupun, kecederaan dialami pemain negara itu tidak serius dan dijangka tidak menghalangnya untuk mengekalkan kilauan pingat emas yang dimenanginya dalam cara perseorangan di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan ini.

Perkembangan itu disahkan oleh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), S Maniam yang turut berada di Manchester.

Selepas menarik diri daripada beraksi di perlawanan terakhir daripada saingan beregu campuran, Rachel yang bergandingan dengan ratu skuasy negara, Nicol David terpaksa memberikan kemenangan percuma kepada pasangan England, Alison Waters dan Jenny Duncalf.

Ia turut meranapkan harapan Rachel untuk mengekalkan pingat gangsa yang dimenanginya bersama kakaknya, Delia pada edisi tahun lalu.

Pengurus pasukan skuasy negara di KL2017, Nik Razeen Daud berkata apa yang paling utama ialah Rachel, 21, pulih sepenuhnya sebelum temasya berkenaan membuka tirainya pada 19 Ogos ini.

"Daripada apa yang saya diberitahu, kecederaan Rachel tidak serius dan dia sepatutnya boleh beraksi untuk Sukan SEA," kata Nik Razeen.

Selain beraksi dalam acara perseorangan di KL2017, Rachel juga dijadual berpasangan dengan Syafiq Kamal dalam acara beregu campuran.

Begitupun, bagi mengurangkan beban di bahunya, dia tidak disenaraikan dalam acara berpasukan dengan juara remaja kebangsaan, S Sivasangari dan Andrea Lee akan mengetuai skuad Malaysia mempertahankan pingat emas.

Sementara itu, Nik Razeen berkata SRAM juga dipaksa melakukan satu perubahan dalam acara wanita susulan persaraan pemain remaja kebangsaan, Zoe Foo.

Tempatnya akan digantikan oleh Nazihah Hanis Razak, namun dia hanya akan beraksi dalam acara berpasukan.

Berita Harian X