Rabu, 2 Ogos 2017 | 9:01pm
AKSI Mohamad Sukri Abdul Mutalib (depan) ketika mewakili KLHC pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL). - Foto Abdullah Yusof

KL2017: Skuad hoki mahu sapu empat emas

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengumumkan barisan pemain terkuat pasukan hoki padang dan dalam dewan lelaki serta wanita dalam usaha menyapu empat pingat emas yang menjadi sasaran kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Berdasarkan pengumuman itu, tumpuan pastinya lebih terarah kepada pasukan hoki lelaki yang menyaksikan majoritinya adalah pemain yang beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun lalu.

Pada saingan itu, skuad bimbingan Stephen Van Huizen menamatkan kempen di tempat keempat sekali gus layak beraksi di Piala Dunia di Bhubaneswar, India tahun depan.

Hanya tiga nama tidak tersenarai untuk saingan kali ini, iaitu pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Najmi Farizal Jazlan yang beraksi bersama skuad dalam dewan sementara dua penyerang, Muhammad Firhan Ashari serta Muhammad Haziq Samsul tidak disenaraikan.

Menggantikan ketiga-tiga tempat pemain itu adalah pemain yang tidak beraksi di London iaitu Muhammad Rashid Baharom, Joel Samuel Van Huizen dan Muhammad Ramadan Rosli.

Mengulas pengumuman senarai 18 pemain terbaik itu, kapten Malaysian Tigres, Mohamad Sukri Abdul Mutalib mengakui Malaysia perlu memenuhi misi wajib menyumbang emas untuk kontinjen negara.

"Saya juga agak terkejut dengan senarai barisan pemain yang terpilih kali ini kerana rata-rata mereka adalah pemain utama dan beraksi di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

"Saya sendiri cukup teruja untuk beraksi kerana ini adalah penampilan pertama saya di Sukan SEA," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sukri bagaimanapun menegaskan, dia serta rakan sepasukan sama sekali tidak memandang mudah setiap lawan yang akan ditemui nanti.

Skuad hoki padang wanita pula menyaksikan ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menyenaraikan Surizan Awang Noh dan Nuramirah Syakirah Zulkifli untuk menggantikan Fazilla Sylverster Silin dan Nur Zafirah Aziz.

Bagi skuad wanita dalam dewan pula, tiga pemain yang sebelum ini beraksi dalam hoki padang iaitu Nurul Safiqah Mat Isa, Fatin Naimah Zaki dan Rabiatul Adawiyah Mohamed tersenarai bagi membantu memperkuatkan barisan pemain dalam dewan.

Berita Harian X