Selasa, 25 Julai 2017 | 12:04am
JERRY mengisi air dalam botol pada hari pertama acara.
JERRY mendapat kata-kata semangat daripada pengarah perlumbaan.
JERRY ketika mengharungi laluan di gurun.
JERRY ketika berada di kawasan pergunungan Tian Shan
JERRY mengibar bendera Malaysia pada akhir perlumbaan.

Pelari rentasi Gurun Gobi

KUALA LUMPUR: Bukan calang-calang orang boleh berlari merentasi gurun yang panas terik, kering dan tandus.

Hanya mereka yang bersemangat kental dan mempunyai keazaman tinggi sahaja mampu menempuh cabaran berada di tengah padang pasir.

Bagi anak muda, Jerry Song Zhi Liang, 21, tiada apa yang dapat menghalangnya untuk menyertai larian di tengah gurun pasir itu melainkan hanya kerana minatnya terhadap aktiviti lasak.

Dia memperoleh kepuasan apabila berjaya menamatkan larian sejauh 250 kilometer merentasi Gurun Gobi di China dalam Siri Larian 4 Gurun, pada 18 Jun lalu.

Walaupun tidak digembar-gemburkan mengenai kejayaannya, ia tetap dianggap sebagai satu pencapaian peribadi terbesar dalam hidupnya.

Kuatkan semangat hadapi rintangan


PELARI ke China, Jerry Song Zhi Liang (kiri) bersama Prof. Jamiyah Hassan, Pakar Perunding Kanan, Obstetrik dan Ginekologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya. - Foto Shiraz Yasmine

Perlumbaan merentasi gurun dan padang pasir yang berlangsung selama tujuh hari itu ternyata menguji kekuatan mental dan fizikalnya apabila dia perlu melalui enam peringkat perlumbaan.

Jerry mengakui pada hari pertama sehingga keempat tiada masalah untuk mengharungi cabaran yang memang banyak menguji peserta.

"Walaupun perlu berlari dan berjalan sambil membawa beg sandang yang berisi segala keperluan, antaranya beg tidur, makanan dan pakaian yang berat keseluruhannya mencecah 50 kilogram, saya masih mampu menamatkan perlumbaan pada waktu ditetapkan.

"Bagaimanapun selepas masuk hari kelima, tapak kaki mulai pecah (blisters) dan menyukarkan saya untuk meneruskan larian. Laluan yang berbatu, kasut yang basah akibat hujan menambahkan kesakitan namun saya tidak peduli dan kuatkan semangat untuk sampai ke 'checkpoint'.

"Cuaca yang tidak menentu juga membuatkan larian kurang konsisten namun apa yang terlintas dalam fikiran adalah, saya perlu menamatkan perlumbaan ini," katanya.

Peserta veteran beri kata semangat

gn4id:21790194

Disenaraikan sebagai antara peserta termuda, persaingan memang sengit lebih-lebih menghadapi cabaran daripada mereka yang berpengalaman dan mahir dengan selok belok laluan di gurun.

Namun, mereka tidak kedekut ilmu. Malah, kebanyakan peserta veteran banyak memberikan kata-kata perangsang dan ini memberikan semangat kepada Jerry untuk terus kuat mengharungi cabaran.

"Hari terakhir perlumbaan, saya diserang 'heat stroke' pada waktu malam dan doktor memberikan rawatan segera untuk pastikan saya boleh menamatkan perlumbaan. Merentasi padang pasir yang amat panas bukan mudah namun saya cekalkan hati dan selalu pujuk diri sendiri yang saya boleh habiskan larian ini," katanya.

Cabar kemampuan diri


JERRY Song Zhi Liang. - Foto Shiraz

Jerry menegaskan, selain mencari kepuasan diri, objektif menyertai perlumbaan yang sangat getir itu adalah semata-mata mahu mencabar kemampuan dirinya sendiri.

Ahli Red Ribbon Youth Club di bawah Yayasan Aids Malaysia ini berkata, selain itu dia juga mahu sebarkan semangat positif kepada mereka yang berjuang melawan penyakit terbabit.

"Jika saya boleh lakukannya, saya percaya sesiapa sahaja boleh melakukannya asalkan punya semangat yang tinggi," katanya.

Bukan lembik seperti disangka

Jerry juga berharap penyertaannya dalam perlumbaan itu dapat mengubah tanggapan sebahagian orang di sekelilingnya yang melihat dirinya sebagai `lembik', 'nerd' dan tidak aktif dalam aktiviti fizikal.

"Selalunya kami dicop sebagai tidak aktif dan lembik, namun sebenarnya masing-masing punya kekuatan yang tersendiri. Saya juga tidak menyangka mampu menamatkan larian sedangkan 20 peratus peserta menarik diri kerana tidak tahan dengan cabaran sepanjang perlumbaan," katanya.

Dia berkata, golongan belia boleh menjadi penyumbang aura positif bukan setakat platform larian semata-mata.

"Tak kisah apa sahaja kelebihan yang ada, gunakan untuk membantu membangunkan semangat orang muda dan menyebarkan semangat Yakin Boleh.

"Saya tidak mampu menamatkan perlumbaan tanpa sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh keluarga, pensyarah dan Yayasan Aids Malaysia," katanya.

INFO

Jerry Song Zhi Liang

Umur: 21 tahun

Asal: George Town, Pulau Pinang.

Kerjaya: Penuntut tahun empat Ijazah Perubatan di Universiti Malaya (UM)

* 4 Desert Series adalah siri larian tahunan merentasi empat gurun serata dunia iaitu gurun Atacama (Chile), Gurun Gobi (China), Gurun Sahara di Afrika dan Antartika.

*Setiap siri larian adalah sejauh 250 kilometer yang berlangsung selama seminggu.

* Pelari boleh menyertai mana-mana siri larian yang diingini namun perlu menghabiskan sekurang-kurangnya dua larian untuk menyertai larian di Antartika.

* Lebih 8,000 peserta dari seluruh dunia sudah menyertai larian ini.

Berita Harian X