Sabtu, 22 Julai 2017 | 10:25pm
PELUMBA basikal wanita negara, Anis Amira Rosidi. - Foto Zunnur Al Shafiq

Anis Amira dianugerah pingat cemerlang YTSP

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menganugerahkan Pingat Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra 2017 (YTSP) kepada pelumba basikal wanita negara, Anis Amira Rosidi.

Menurut kenyataan YTSP hari ini, majlis penyampaian anugerah itu berlangsung di Velodrome Darebin International Sport Centre, Melbourne, Australia, petang semalam.

Anis Amira, 19, yang juga anak jati Perlis, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Indera dan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan, Kangar turut menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM3,000.

Dalam titahnya, baginda menzahirkan rasa bangga dan mengucapkan syabas kepada atlet berkenaan kerana terpilih mewakili negara dan menyifatkan pelumba itu mempunyai masa depan cerah dalam acara trek berbasikal di peringkat antarabangsa.

Baginda juga yakin Anis Amira mampu membantu skuad berbasikal trek negara meraih pingat emas dalam Temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos depan.

Tuanku Syed Faizuddin berharap pelumba itu berusaha gigih untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dengan mengikuti kejayaan pelumba kebangsaan seperti Azizulhasni Awang, Fatehah Mustapha dan Jupha Somnet.

Dalam laman Facebooknya, Anis Amira menjunjung setinggi kasih atas kurniaan tersebut dan keprihatinan Raja Muda Perlis yang berkenan mencemar duli mengunjungi beliau di lokasi latihan.

"Anugerah ini pasti menyemarakkan semangat saya untuk memberikan aksi terbaik pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 nanti," katanya.

Antara kejayaan pelumba itu ialah memenangi pingat emas acara 2km Kejar-Mengejar Individu dan 500 meter Ujian Masa kejohanan Lumba Basikal Trek Remaja Kebangsaan Sirkit 1 2016 di Velodrom Cheras, Kuala Lumpur serta pingat emas acara Perlumbaan Mata, 2km Kejar Mengejar Individu, Perlumbaan Scratch, Pecut 200 meter dan Keirin.

Antara atlet kelahiran Perlis yang menerima pingat Cemerlang YTSP ialah Bakri Ibni dan Yusri Che Lah (bola sepak), Jupha Somnet (lumba basikal) dan atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly. - BERNAMA

Berita Harian X