Khamis, 13 Julai 2017 | 3:29pm

Insentif khas untuk atlet pekak - Zahid


DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada Ketua Kontingen, Kamarzaman Harun sempena majlis Penyerahan bendera Malaysia kepada Kontingen Pekak Malaysia Temasya Sukan Deaflympik yang akan berlangsung di Samsun Turki. - Foto Yazit Razali

SUBANG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan atlet kurang upaya pendengaran yang berjaya membawa pulang pingat dalam Deaflympics Games ke-23 di Samsun, Turki akan menerima ganjaran istimewa daripada kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jumlah dan bentuk insentif yang akan diberikan kepada atlet yang membawa pulang pingat dalam kejohanan itu.

Deaflympics Games akan berlangsung dari 18 hingga 30 Julai ini.

"Kira amat menghargai penyertaan mereka dan berharap mereka berjaya dan menaikkan nama negara. Mereka akan menerima insentif jika membawa pulang pingat emas, perak atau gangsa.

"Jaminan memberi insentif ini bukan sahaja kerajaan prihatin malah komited membantu mereka," katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen 30 atlet orang kurang upaya (OKU) pendengaran yang mewakili Malaysia dalam kejohanan itu di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, hari ini.

Ahmad Zahid turut menyerahkan cek bernilai RM250,000 sumbangan kerajaan kepada kontinjen berkenaan.

Kontinjen atlet OKU pendengaran yang diketuai Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia, Kamarzaman Harun akan bertarung dalam tiga acara iaitu badminton, boling tenpin dan olahraga dalam temasya sukan yang disertai 80 negara dengan lebih 7,000 atlet.

Ini kali kelima kontinjen Malaysia menyertai kejohanan berkenaan. Pada tahun 2001, Malaysia berjaya meraih pingat emas dalam acara 110 meter lari berpagar lelaki.

Ahmad Zahid berkata, penyertaan Malaysia mungkin bukan yang terbesar tetapi beliau gembira dengan semangat atlet terbaik bersaing di peringkat dunia bagi menaikkan nama Malaysia.

"Deaflympics Games adalah temasya sukan tertinggi bagi warga pekak seperti Sukan Olimpik bagi atlet biasa dan Sukan Para-Olimpik bagi atlet paralimpik. Oleh itu, saya berharap atlet negara dapat memberi tumpuan yang maksimum.

"Kerajaan sentiasa memberi sokongan padu terhadap rakyat Malaysia yang ingin menaikkan atau mengharumkan nama negara tanpa mengira kaum, bangsa, orang biasa atau mereka yang berkelainan upaya," katanya.

Sementara itu, Kamarzaman menyasarkan pingat emas akan dituai dalam acara badminton dan 110 meter lari berpagar lelaki.

"Jika meraih pingat dalam acara lain, ia akan menjadi bonus kepada sasaran kutipan pingat kita. Saya mengharapkan doa dari seluruh rakyat agar atlet kita meraih kejayaan dan pingat bagi mengharumkan nama negara," katanya.

Berita Harian X