Selasa, 3 Disember 2019 | 10:18am

Liverpool bertemu Everton pusingan ketiga Piala FA

LONDON: Liverpool akan bertemu musuh tempatan, Everton pada pusingan ketiga Piala FA sementara pasukan AFC Fylde akan bertemu pasukan Liga Perdana, Sheffield United pada undian yang diadakan awal pagi ini.

Pasukan Jurgen Klopp dilihat mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri dalam pertemuan Merseyside itu. Perlawanan bakal diadakan pada 3 Januari hingga 6 Januari depan.

Everton, yang akan bertemu Liverpool dalam Liga Perdana pada awal pagi Khamis ini, tidak pernah memenangi sebarang perlawanan di Anfield sejak 20 tahun lepas.

Pusingan ketiga ini juga bakal menyaksikan kelab Liga Perdana dan juga Liga Kejuaraan menyertai Piala FA.

Juara bertahan, Manchester City akan bermain di laman sendiri menentang Port Vale, sementara Manchester United akan bertemu Wolves, yang juga kelab yang menewaskan mereka pada pusingan suku akhir dalam kejohanan musim lalu.

Fylde, yang tampil buat kali pertama akan berkunjung ke Sheffield sementara pasukan bukan liga, North Boston pula akan menerima kunjungan Newcastle jika mereka menewaskan Rochdale dalam perlawanan semula pusingan kedua.

Pemenang Piala FA sebanyak 13 kali, Arsenal bakal diuji di laman sendiri apabila bertemu Leeds.

Leicester yang berada di tangga kedua Liga Perdana pula akan menerima kunjungan Wigan sementara Chelsea akan menerima kunjungan Nottingham Forest ke Stamford Bridge. - AFP

Berita Harian X