Isnin, 2 Disember 2019 | 11:28pm
JURULATIH Malaysia, Datuk Ong Kim Swee ketika menentang Timor Leste pada perlawanan peringkat kumpulan acara bola sepak Sukan SEA Filipina 2019 di Stadium Memorial Rizal. NSTP/Osman Adnan

Kemenangan tambah keyakinan hadapi Kemboja

 

MANILA: Jurulatih skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan kemenangan 4-0 ke atas Timor Leste, malam tadi meningkatkan lagi tahap keyakinan anak buahnya menjelang aksi terakhir Kumpulan A bertemu Kemboja, Rabu ini.

“Ia kemenangan yang baik dan sekurang-kurangnya memberi suntikan kepada kami untuk menghadapi aksi seterusnya menentang Kemboja.

“Saya percaya perlawanan dengan Kemboja tidak mudah. Mereka bermain dengan baik menentang Filipina (seri 1-1) dan menang ke atas Timor Leste (5-0).

“Walaupun mereka tewas kepada Myanmar (1-2) namun mereka tetap ada peluang sekiranya berjaya menewaskan kami. Jadi, kami perlu gunakan pendekatan berbeza bertemu mereka,” kata Kim Swee ketika sidang media selepas tamat perlawanan.

Dengan Myanmar sudah mengesahkan slot ke separuh akhir Sukan SEA 2019 selaku juara Kumpulan A apabila mengumpul 10 mata, saingan memburu satu lagi tempat kini membabitkan persaingan tiga penjuru antara Malaysia, Filipina dan Kemboja.

Ketiga-tiga pasukan kini berkongsi empat mata dengan aksi terakhir bakal menentukan pasukan mana bakal mengiringi Myanmar ke kelompok empat terbaik.

Filipina akan berdepan Timor Leste yang turut berlangsung Rabu ini.

Kim Swee mengakui lega apabila anak buahnya tidak dibolosi gol dalam perlawanan dengan Timor Leste di Stadium Rizal Memorial itu biarpun lawan mempunyai banyak peluang menjaringkan gol.

“Kami tahu yang kita perlu menjaringkan banyak gol dalam perlawanan ini, jadi kami terpaksa mengambil risiko dengan tidak ramai pemain di bahagian pertahanan yang mana pastinya membuka ruang buat Timor Leste.

“Namun, kami cukup bertuah mereka gagal menyempurnakan peluang yang ada untuk menjaringkan gol. Saya agak bimbang sekiranya kami dibolosi kerana ia pasti akan mempengaruhi jumlah perbezaan gol,” katanya.

Berita Harian X