Ahad, 1 Disember 2019 | 7:33am
Pengendali Liverpool, Juergen Klopp memeluk pemainnya, Virgil van Dijk sejurus tamat perlawanan menentang Brighton, malam tadi. - Foto REUTERS

Klopp tetap menang ketika pemain beku

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji karakter anak buahnya apabila dua jaringan Virgil van Dijk pada babak pertama membantu mereka melebarkan 11 mata selepas menang 2-1 mengatasi Brighton meskipun penjaga golnya, Alisson Becker di buang padang dalam saingan malam tadi.

Penjaga gol Brazil itu dibuang padang pada minit ke-76 apabila meluru keluar untuk menampan serangan pemain gantian Brighton, Leandro Trossard.

Tempatnya diganti Adrian namun dia yang belum bersedia terus dibolosi oleh sepakan percuma Lewis Dunk yang melepasi benteng Liverpool.

"Kami memasukkan penjaga gol yang beku," kata Klopp.

"Semua yang duduk di sini nampaknya mungkin belum panas lagi, bayangkan kamu dikerah dalam masa singkat dengan jersi nipis dan sarung tangan, ia mungkin tidak cukup tebal untuk memanaskan kamu!

Reaksi penjaga gol Liverpool, Alisson Becker (tiga dari kiri) ketika dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan ketika menentang Brighton, malam tadi. - Foto EPA

"Lepas tu ada pemain yang melakukan sepakan percuma dan terus masuk, ia kelihatan seperti ada yang tertidur.

"Tapi kita tetap melawan - Adrian membantu menyelamatkan dua cubaan bahaya tapi dengan kakinya yang masih sejuk dia tidak berjaya menyepak dengan kuat seperti sepatutnya.”

Adrian menyelamatkan cubaan bahaya Aaron Mooy sebelum sekali lagi menafikan tandukan silang daripada Pascal Gross.

Liverpool bagaimanapun berterima kasih kepada dua jaringan Van Dijk, yang muncul calon hangat menerima anugerah Ballon d'Or di Paris esok.

"Saya sangat gembira dengan naluri yang dipamerkan pemain saya. Kad merah itu menjadikan kemenangan ini lebih istimewa,” kata Klopp. 

"Kami tidak memikirkan sangat jurang mata atau mengenai  perbezaan 11 mata. Leicester akan bermain esok (malam ini) jadi, ia mungkin menjadi lapan semula.

"Kami sudah memenangi 13 perlawanan tapi semuanya bukan mudah.

"Kami tidak anggap perlawanan ini mudah. Dalam beberapa perlawanan, kami tidak mahu dikhayalkan dengan perasaan bahawa kami adalah pasukan pilihan.” – AFP

Pemain Liverpool, Virgil van Dijk melonjak tinggi sambil menanduk bola ke gawang Brighton & Hove Albion untuk gol kedua pasukannya pada saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto Reuters

Berita Harian X