Selasa, 26 November 2019 | 3:58pm
Carlo Ancelotti. - Foto AFP

Anfield penentu masa depan Ancelotti

MILAN: Napoli bertandang ke Liverpool esok untuk saingan Liga Juara-Juara yang bakal menentukan masa depan Carlo Ancelotti bersama kelab Itali bermasalah itu.

Pengendali yang mengumpul tiga kejuaraan Liga Juara-Juara berada pada musim keduanya di Stadio San Paolo yang terbukti cukup rumit, selepas membawa mereka muncul naib juara Serie A dalam tahun pertamanya.

Napoli bermula baik dalam kempen Liga Juara-Juara apabila menang 2-0 ke atas juara bertahan, Liverpool, walaupun terdapat masalah dalam bilik persalinan dan perselisihan antara pemain dan pengurusan kelab.

Napoli di landasan terbaik untuk layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara apabila kini menghuni tangga kedua Kumpulan E di belakang Liverpool, empat mata di depan Salzburg di tangga ketiga dengan dua perlawanan berbaki.

Mereka akan mara sekiranya mampu menewaskan Liverpool atau jika Salzburg tidak menang ke atas Genk, selepas gagal mara melepasi peringkat kumpulan musim lalu.

Namun cabaran berdepan Liverpool yang kini mendahului Liga Perdana Inggeris dengan jurang lapan mata ke atas pesaing terdekat dan kekalahan tunggal mereka musim ini hanya di Sao Paolo – sudah pasti menjadi lebih sukar.

Lebih mencabar lagi apabila Napoli terpaksa turun tanpa kelibat kapten mereka, Lorenzo Insigne yang cedera di bahagian siku Sabtu lalu.

Penyerang Itali itu sudah meledak lima kali buat Napoli musim ini, dan turut menjaringkan gol kemenangan ke atas Liverpool ketika kemenangan 1-0 di Naples musim lalu.

Ancelotti merangkul tiga trofi Liga Juara-Juara ketika bersama Milan, Real Madrid dan trofi Liga Perdana Inggeris ketika bersama Chelsea. – AFP

 

Berita Harian X