Rabu, 20 November 2019 | 9:34pm
Gambar fail, bekas penjaga gol kebangsaan dan Selangor, Norazlan Razali pada sesi latihan pasukan bagi persediaan menghadapi Liga Super musim 2016 di Stadium Mini Shah Alam. - Foto Osman Adnan

Norazlan sertai Melaka United

MELAKA: Kehadiran bekas penjaga gol kebangsaan, Norazlan Razali bersama skuad Melaka United (MU) di pentas Liga Malaysia 2020 mampu memperkukuhkan kubu skuad berkenaan.

Penolong pengurus Melaka, Syahrul Nizam Shamsuddin berkata, pemain itu sah menyertai skuad berkenaan bagi tempoh semusim selepas bersetuju menandatangani kontrak berbakti buat skuad Hang Tuah kali ini.

Katanya selain Norazlan, Melaka juga memiliki penjaga gol berpengalaman Khairul Fahmi Che Mat yang masih memiliki kontrak bersama pasukan sehingga akhir musim depan.

Sementara penjaga gol ketiga, Ahmad Solehin Mamat yang menyertai pasukan pada pertengahan musim, selepas menyarung jersi Kuala Lumpur sebelum itu juga sudah menandatangani kontrak di depan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA)  Damian Yeo Shen Li minggu lalu.

“Apa yang pasti kehadiran Norazlan mampu menjadi pilihan kepada jurulatih Zainal Abidin Hassan seandainya berlaku kecederaan ke atas Khairul Fahmi.

“Malah kami bimbang kecederaan yang dialami Khairul Fahmi sebelum ini berlaku semula membolehkan Norazlan mengisi tempat berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Solehin juga memiliki potensi besar memberi saingan di posisi berkenaan dengan akhirnya terpulang kepada jurulatih menentukan kesebelasan utama pasukan.

 

 

Berita Harian X