Jumaat, 15 November 2019 | 11:23am
Raheem Sterling dan Joe Gomez ketika sesi latihan di St George’s Park. - Foto Reuters

Sterling pertahan Gomez

LONDON: Penyerang England, Raheem Sterling yang diketepikan Three Lions ketika menang 7-0 mengatasi Montenegro susulan pergaduhan dengan rakan sepasukan, Joe Gomez bangkit mempertahankan pertahanan Liverpool itu yang diejek segelintir penyokong di Wembley.

Bintang Manchester City, Sterling digugurkan daripada skuad England oleh pengurus, Gareth Southgate berikutan pertelingkahannya dengan Gomez di pusat latihan pasukan, St George Park, Isnin lalu.

Pertelagahan kedua-dua pemain itu dikatakan berlarutan selepas kemenangan 3-1 Liverpool ke atas City di Anfield dalam pertembungan teratas Liga Perdana, minggu lalu.

Sterling hanya menyaksikan perlawanan yang mengesahkan kemaraan England ke pusingan akhir Euro 2020 itu di bangku simpanan tetapi menggunakan media sosial untuk mengutuk penyokong selepas dia mendengar Gomez menjadi sasaran ejekan ketika masuk sebagai pemain gantian.

“Kepada semua peminat England, saya mahu melupakan segala-galanya tetapi malam ini saya perlu membuka mulut sekali lagi: Sukar untuk saya melihat rakan sepasukan saya diejek disebabkan oleh kesilapan saya,” kata Sterling menggunakan Twitter.

"Joe tidak melakukan sebarang kesalahan dan bagi saya untuk melihat seseorang yang kekal tenang dan bekerja keras, terutama selepas mengharungi minggu yang sukar, datang ke sini malam ini dan diejek adalah salah.

“Saya bertanggungjawab penuh dan menanggung akibatnya. Saya merasakan yang saya perlu menyatakannya.”

Southgate juga berkata dia tidak memahami mengapa peminat menjadikan Gomez sebagai sasaran.

“Tiada pemain England yang patut diejek. Kami adalah satu pasukan dan Joe tidak melakukan sebarang kesilapan. Saya sudah menyatakan dengan sejelas-jelasnya pada minggu ini jadi saya tidak memahaminya. Dia dan Sterling amat rapat dan semua pasukan amat rapat jadi kami tidak mahu melihat seseorang dilayan seperti itu.” - Reuters

Berita Harian X