Rabu, 13 November 2019 | 2:21pm
Jurulatih skuad bola sepak Malaysia, Tan Cheng Hoe berkata sesuatu kepada pemainnya ketika sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - NSTP/Aizuddin Saad

Bukit Jalil mampu buat Thailand gentar

Tinggal 24 jam sahaja lagi Harimau Malaya akan turun membuat perhitungan penting dengan Thailand dalam aksi kelayakan Kumpulan G Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Harimau Malaya harus menang ke atas Thailand untuk terus menghidupkan peluang layak ke Piala Asia 2023.

Peluang ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia Zon Asia masih terbuka, Harimau Malaya perlu mengambil peluang mencipta kemenangan di laman sendiri.

Jika dilihat situasi sekarang, pemain Harimau Malaya berada dalam keadaan terbaik dengan tahap moral yang tinggi.

Perasaan berkobar-kobar dan tidak sabar untuk turun beraksi terpancar di setiap wajah mereka.

Kunci utama dalam pertembungan esok adalah disiplin atas padang.

Hanya dengan itu sahaja membolehkan kemenangan kerana Thailand adalah pasukan yang amat berdisiplin di atas padang sepanjang 90 minit permainan.

Harimau Malaya  jangan cepat puas hati andai sudah mendahului kerana Thailand memiliki semangat melawan yang tinggi.

Lihatlah, mereka mampu menundukkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kerana disiplin mereka sangat tinggi.

Thailand juga turun dengan skuad utama yang sangat berpengalaman.

Tambahan lagi, jurulatih baharu dari Jepun, Akhira Nishino memiliki idea dan mampu untuk membaca ‘game plan’ pihak lawan dengan jitu. Ini satu cabaran buat Tan Cheng Hoe.

Pastikan anda juga memiliki idea yang tinggi untuk mengubah perlawanan agar jadi milik kita.

Salah satu faktor adalah pemain ke-12 iaitu penyokong amat-amatlah penting bagi meleburkan keyakinan tinggi pasukan Thailand.

Saya pernah berbicara dengan wartawan sukan Thailand semasa kejohanan Piala AFF 2014 di Bangkok. 

Katanya sememangnya Thailand mempunyai kelebihan tetapi atas faktor penuhnya Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan gegak gempita Ultras Malaya dan disambut dengan seluruh stadium, ‘Sang Gajah’ boleh goyah. – Oleh Sharulnizam Daud (penyokong Harimau Malaya)

Berita Harian X