Selasa, 12 November 2019 | 8:46am
RAHEEM Sterling tidak lekat dalam senarai skuad England untuk menentang Montenegro dalam saingan Kelayakan Euro 2020 susulan bertegang leher dengan pertahanan Liverpool, Joe Gomez ketika latihan. - Foto EPA

Sterling digugur selepas bergaduh dengan Gomez

LONDON: Nama Raheem Sterling tidak lekat dalam senarai skuad England untuk menentang Montenegro dalam saingan Kelayakan Euro 2020 susulan bertegang leher dengan pertahanan Liverpool, Joe Gomez ketika latihan.

Sterling dan Gomez dilaporkan terbabit dalam perselisihan ketika berlatih di kem latihan England di St George Park, semalam.

Insiden itu tercetus disebabkan kemenangan Liverpool menewaskan City 3-1 dalam saingan Liga Perdana di Anfield kelmarin tetapi emosinya merebak ke kem latihan berkenaan.

Difahamkan, rakan sepasukan England terpaksa meleraikan mereka berdua yang sebelum itu menjadi tonggak penting kedua-dua pasukan dalam pertembungan yang menyaksikan Liverpool sembilan mata meninggalkan City ketika ini.

Namun Sterling kekal bersama skuad England - yang hanya memerlukan satu mata lagi untuk mara tapi kenyataan FA yang dikeluarkan pagi ini mengesahkan wira City itu digugurkan daripada tugasan berdedpan Montenegro.

"FA boleh mengesahkan bahawa Raheem Sterling tidak disenaraikan dalam Kelayakan EURO 2020 melawan Montenegro di Wembley Khamis ini susulan pergaduhan di ruang peribadi kawasan latihan St. George Park hari ini. Dia bagaimanapun kekal dalam skuad,” kata kenyataan FA.

Pengurus Three Lions, Gareth Southgate berkata: "Kami mengambil maklum keputusan itu dengan tidak menyenaraikan Raheem untuk perlawanan menentang Montenegro Khamis ini.”

"Satu cabaran besar dan berat untuk pasukan ini ialah mampu memisahkan pesaing dalam kelab daripada pasukan kebangsaan.

“Malangnya emosi perlawanan kelmarin masih belum berakhir.

"Pada saya, pasukan ini mengambil tindakan yang tepat.

"Keputusan sudah dibuat membabitkan persetujuan seluruh anggota skuad, ia amat penting untuk memberikan sokongan kepada pemain dan fokus kepada perlawanan Khamis nanti.”

Sterling memperaga aksi memukau buat England sepanjang kempen kelayakan itu dengan menyumbat lapan gol serta lima bantuan gol.

Pemain berusia 24 tahun itu juga tonggak utama berdepan cabaran Liverpool, tapi City akhirnya tumbang menerusi ketajaman Fabinho, Mohamed Salah dan Sadio Mane manakala City hanya membalas menerusi gol tunggal Bernardo Silva pada minit ke-77.

Selepas menentang Montenegro di Wembley, anak buah Southgate akan melengkapkan aksi terakhir peringkat kumpulan dengan berkunjung ke Pristina untuk menentang Kosovo Ahad depan. – Agensi

Berita Harian X