Isnin, 11 November 2019 | 11:23am
JOSE Mourinho dan Vincent Kompany.

Mourinho, Kompany ramal Liverpool bakal sengsara  

LIVERPOOL: Jose Mourinho tahu apa yang perlu dilakukan untuk mendakap trofi Liga Perdana Inggeris dan kini percaya Liverpool di posisi terbaik menjulangnya kecuali mereka ditimpa krisis kecederaan di pertengahan musim.

Jurulatih dari Portugal itu berada di Anfield menyaksikan perlawanan Liverpool menentang Manchester City yang berkesudahan The Reds menang 3-1 sekali gus meninggalkan Leicester City dan Chelsea lapan mata di belakang manakala City ketinggalan sembilan mata.

"Dari pandangan saya, Liverpool sudah berjaya melakukannya, kecuali sesuatu perkara dramatik berlaku misalnya kecederaan mampu menjejaskan pasukan itu,” kata Mourinho kepada Sky Sports.

"Pada saya pasukan Liverpool ini... berjaya menggunakan pemain berkualiti mereka dan teka tekinya seakan sudah lengkap.

“City mampu menang tujuh, lapan atau sembilan perlawanan berturut-turut tapi saya tidak nampak bagaimana Liverpool boleh hilang cengkaman itu."

Dalam pada itu, bekas kapten City, Vincent Kompany, yang menjadi sebahagian tonggak penting membantu Citizens menang berganda dua musim lalu menggangap Liverpool harus dikagumi.

Bagaimanapun menurutnya, perebutan kejuaraan liga memerlukan ‘drama tersendiri’ dan pemburuan gelaran itu belum berakhir.

Kompany yakin jadual padat dihadapi Liverpool dalam tempoh lima minggu akan datang boleh mendatangkan masalah kepada anak buah Jurgen Klopp.

Menurutnya, Liverpool akan berdepan 12 perlawanan dalam tempoh lima minggu termasuk aksi Kelab Piala Dunia FIFA di Qatar.

"Mereka berdepan perlawanan di seluruh dunia,” kata Kompany.

"Pada saya, City akan sedia mengejar hingga ke peghujungnya.”

Sementara itu bekas pemain midfield Liverpool, Graeme Souness berkata Liverpool berpeluang cerah memenangi gelaran sejak kemarau 1990.

"Apa yang boleh menghalangnya? Kecederaan pemain utama,” katanya kepada Sky Sports.

"Mereka perlukan kekuatan padu untuk mencapainya. Kecederaan akan menjejaskan peluang mereka. Apabila kamu tidak dapat tempoh rehat secukupnya selang setiap perlawanan, kamu akan mudah dilanda kecederaan otot.

"Tempoh ini sangat penting untuk mereka. Saya jangkakan masalah ini menjadi isu mereka selepas ini.” – Reuters

Berita Harian X