Jumaat, 8 November 2019 | 11:52am
BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Santokh Singh.

Cadangan Santokh relevan – Ridzuan Sheikh Ahmad

KUALA LUMPUR: Cadangan bekas pemain kebangsaan, Datuk Santokh Singh supaya memperkenalkan dua pasukan kebangsaan dilihat bertepatan untuk memacu prestasi Harimau Malaya ke arah lebih baik.

Bagi memastikan kelangsungan pasukan kebangsaan A dan B, kedua-duanya perlu diberi peluang beraksi dalam liga tempatan seperti yang pernah dilaksanakan kepada skuad Olimpik 2000 sebelum ini.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Ridzuan Sheikh Ahmad berkata beliau menyokong dengan cadangan itu namun ia perlu mendapat persetujuan daripada pasukan negeri dan kelab tempatan.

"Pada pendapat saya, ianya bagus seperti yang pernah kita ada sebelum ini dan cadangan ini masih relevan untuk digunapakai ketika ini. Kita kumpul pemain terbaik dan beri mereka beraksi dalam liga tempatan.

"Apa pun, kita perlu mendapat persetujuan daripada pasukan negeri dan kelab kerana agak sukar untuk mereka melepaskan pemain terbaik mereka miliki. Kita kena ada formula terbaik jika mahu laksanakan cadangan ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Pada pertemuan dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, sebelum ini, Santokh Singh merasakan perlukan ada pasukan 'back-up' untuk memastikan kelangsungan pemain setiap kali perlawanan, contohnya team A dan team B yang dua-dua sama kuat.

Langkah itu bagi memastikan tidak timbul sebarang masalah sekiranya skuad utama kehilangan tonggak dan terus boleh diganti dengan pemain daripada Pasukan B.

Dalam masa sama, Ridzuan berkata Penunjuk Prestasi Utama (KPI) perlu ditetapkan kepada seseorang pemain bagi memastikan hanya mereka yang layak beraksi bersama pasukan negara.

"Pemain yang dipilih bersama pasukan kena bekerja lebih daripada orang lain. Kalau mereka tidak capai apa yang ditetapkan, mereka juga boleh disingkir daripada pasukan.

"Sebab itu saya berpendapat langkah ini tidak akan menutup peluang pemain daripada pasukan lain. Jika mereka benar-benar bagus, mereka tetap berpeluang diserap masuk ke dalam skuad negara," katanya.

Berita Harian X