Jumaat, 8 November 2019 | 11:28am
PEMAIN Manchester City, Fernandinho. - Foto Reuters

Kami datang ke Anfield untuk menang - Fernandinho

LONDON: Manchester City membuat kunjungan ke laman Liverpool, Anfield dengan sasaran untuk menang, kata pemain tengah Fernandinho.

Liverpool kendalian Jurgen Klopp ketika ini memiliki kelebihan enam mata di puncak Liga Perdana dan akan mengukuhkan kedudukan jika menewaskan penyandang juara, City, Ahad ini.

Tanpa menghiraukan kelebihan Liverpool, Fernandinho berkata City akan melayan perlawanan itu seperti aksi lain dan menyasarkan untuk mencantas kedudukan mata pendahulu itu.

“Kami pergi ke sana dan cuba untuk menang,” kata pemain kelahiran Brazil itu. “Mentaliti kami adalah sentiasa cuba memenangi perlawanan, seperti kami lakukan (menentang Atalanta) sejak minit pertama.”

Ditanya sama ada City tidak mampu untuk tewas, Fernandinho berkata: “Seperti saya katakan kepada rakan sepasukan saya, perlawanan seperti itu (Atalanta), jika kamu tidak menang, kamu tidak boleh kalah. Seperti yang saya katakan, kami akan mengharungi perlawanan pada Ahad ini dan cuba memenanginya.”

Sebagai rekod, Fernandinho bermain di Anfield sebagai pemain City sebanyak tujuh kali dan tidak pernah memenanginya dan keputusan seri 0-0 musim lalu menjadi satu-satunya perlawanan yang menyaksikannya membawa pulang satu mata.

City juga dijangka berdepan kesukaran apabila kehilangan beberapa pemain tonggak antaranya Aymeric Laporte, Leroy Sane, Oleksander Zinchenko dan David Silva manakala pemain tengah, Rodri juga diragui mampu diturunkan. - Agensi

 

 

Berita Harian X