Jumaat, 8 November 2019 | 11:07am

Tengku Hassanal Ibrahim, Kamarudin kena cantas

KUALA LUMPUR: Bukan saja nama Datuk Kamarudin Meranun, tetapi nama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah juga ditukar saat akhir oleh Persatuan Hoki Kedah (KHA) menjelang Mesyuarat Agung Tahunan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), 16 November ini.

Ia didedahkan selepas sumber yang rapat dengan KHA mengesahkan nama Pemangku Raja Pahang itu dipadamkan daripada senarai asal bagi membolehkan Jadadish Chandra dicalonkan sebagai timbalan presiden.

Walaupun enggan mengulas, Timbalan Presiden KHA, S Satish Kumar berkata, dia sendiri terkejut dengan keputusan saat akhir 'tangan ghaib' dalam KHA menukar borang pencalonan itu.

"Kami sudah menghantar borang pencalonan pada 1 November lalu menerusi R Ganesan (Setiausaha KHA) sebelum saya ke London.

"Sejurus diberitahu semalam, saya agak terkejut macam mana ia ditukar sedangkan penamaan itu diputuskan bersama oleh ahli jawatankuasa KHA.

"Bukannya hendak menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi kami nak tahu perkara sebenar... setiausaha kami pun tidak tahu menahu. Dan kami berharap pihak terbabit tampil menjelaskannya," katanya.

Semalam, BH Sukan mendedahkan ada individu yang didakwa menghalang Kamarudin yang juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad bertanding bagi merebut jawatan presiden.

Ini selepas Jadadish yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perundangan MHC mengesahkan Kamarudin tidak layak bertanding bagi jawatan nombor satu itu selepas hanya mendapat dua pencalonan.

Mengikut perlembagaan MHC, individu yang mahu bertanding merebut jawatan nombor satu badan induk itu perlu mendapat minimum tiga pencalonan. 

Kamarudin hanya mendapat pencalonan daripada Persatuan Hoki Johor (JHA) dan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA).

Berita Harian X