Jumaat, 1 November 2019 | 6:15pm
ZLATAN Ibrahimovic. - Foto AFP

Ole patut bawa pulang Ibrahimovic - Ince

LONDON: Bos Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer perlu cuba memikat Zlatan Ibrahimovic pulang ke Old Trafford ketika jendela perpindahan kembali dibuka, kata legenda Red Devils, Paul Ince.

Kontrak penyerang berusia 38 tahun itu bersama kelabnya ketika ini, LA Galaxy dijadual berakhir pada penghujung tahun dan dijangkakan, pemain kelahiran Sweden itu berpotensi kembali ke Eropah menerusi perpindahan percuma.

Ibrahimovic meledak 30 gol dalam 29 perlawanan di Liga Bolasepak Major (MLS) musim ini dan sumbangnya terakhirnya adalah ketika separuh akhir Western Conference yang menyaksikan Galaxy tewas 3-5 kepada seteru tetangga, Los Angeles FC minggu lalu.

Penyerang veteran itu sudah pun memberi bayangan untuk kembali ke Sepanyol pada Januari dan pernah mengakui bersedia untuk menyertai gergasi Serie A, Napoli tetapi destinasi sebenar masih samar.

Kepulangan semula ke Old Trafford menjadi antara pilihan buat Ibrahimovic yang pernah menghabiskan tempoh dua tahun di United justeru Ince yang bermain bersama Red Devils pada musim 1989 dan 1995 mengakui gembira jika pemain itu menolak segala tawaran dan menandatangani kontrak bersama bekas kelabnya itu.

"Zlatan Ibrahimovic nampak tertarik untuk kembali ke Sepanyol, kemudian dia dikaitkan dengan kekal di MLS dan juga Perth Glory," kata Ince. “Tetapi saya fikir, jika dia mahu, kembali ke Old Trafford adalah tempat yang bagus.

“Dia pasti hebat dalam mendidik semua pemain muda yang Ole sedang cuba ketengahkan, mempunyai pengaruh yang hebat di luar dan dalam padang. Mereka memerlukan seseorang yang boleh mengawal bilik persalinan dan pemimpin yang sejati, dia sesuai untuk peranan itu.”

Selain itu, Ince juga berpendapat Ibrahimovic sebagai jawapan terhadap kelemahan United di jentera serangan dan pemilihannya lebih tepat berbanding cuba mendapatkan penyerang Juventus, Mario Mandzukic.

“Saya tidak tahu mengenai adanya perbincangan dengan Mario Mandzukic tetapi untuk jangka masa pendek, saya tidak melihat mengapa kamu tidak mengambil Zlatan. Anthony Martial sedang cedera, Jesse Lingard tidak konsisten dan semua tekanan terarah kepada (Marcus) Rashford." - Agensi

 

 

Berita Harian X