Jumaat, 25 Oktober 2019 | 7:18pm
Jurulatih Pahang, Dollah Salleh ketika sesi latihan pasukan Pahang di Stadium Darul Makmur. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Dollah masih tagih bisa Nwakaeme, Kaimbi

 

KUANTAN: Gandingan Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi tetap menjadi taruhan Pahang apabila berdepan Kedah pada separuh khir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam esok. 

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, dua penyerang import, masing-masing dari Nigeria dan Namibia itu berada pada prestasi terbaik untuk merobek gawang skuad Helang Merah.  

"Ketika ini, saya tiada masalah di bahagian serangan kerana Nwakaeme dan Kaimbi menjadi pihanan utama untuk memberi tekanan kepada pertahanan lawan.  

"Saya percaya dua penyerang import ini dapat membantu manakala pemain lain di bahagian tengah dan pertahanan membantu memperkasakan pasukan," kata Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan.  

Dalam saingan Piala Malaysia, Nwakaeme sudah menjaringkan tujuh gol termasuk satu ketika Pahang seri 3-3 berdepan Kedah manakala lima gol disumbangkan Kaimbi.  

Pada masa sama, beliau percaya pemain di posisi lain juga boleh membantu menghasilkan jaringan kerana mereka sudah membuktikannya ketika seri 3-3 pada separuh akhir pertama lalu.  

Katanya, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Nor Azam Azih, masing-masing menyumbang satu gol dan sentuhan mereka amat dinantikan.  

"Bagi saya, segala percaturan diharap menjadi untuk memastikan slot final Piala Malaysia menjadi milik Pahang musim ini.  

"Kelebihan yang ada iaitu bermain di laman sendiri tidak perlu dipersia-siakan selepas pemain bermain dengan baik di Alor Setar biarpun mencatat keputusan seri.  

"Saya harap kesebelasan utama diturunkan esok dapat bermain pada tahap terbaik dan mencapai misi ke pentas final," katanya.

Berita Harian X