Jumaat, 25 Oktober 2019 | 7:22am
NICOLAS Pepe selepas menjaringkan gol dalam saingan Liga Europa pagi tadi. - Foto EPA

Arsenal, United terselamat 

PARIS: Nicolas Pepe muncul dari bangku simpanan untuk menjadi penyelamat Arsenal ketika menang tipis 3-2 di laman sendiri menentang Vitoria Guimaraes dalam saingan Liga Europa pagi tadi.

Arsenal dua kali bangkit sebelum merakam kemenangan itu untuk kekal mendahului Kumpulan F.

Arsenal muncul pasukan kedua yang mengumpul mata maksimum bersama Sevilla, yang menewaskan Dudelange of Luxembourg 3-0 dalam Kumpulan A.

Manchester United pula mengumpul tujuh mata dan hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk layak selepas menang tipis 1-0 ke atas Partizan dalam aksi Kumpulan L di Belgrade. 


JARINGAN Nicolas Pepe dalam saingan Liga Europa pagi tadi. - Foto Reuters

Celtic pula bangkit membenam Lazio 2-1 di Glasgow dan kekal teratas Kumpulan E.

PSV Eindhoven terikat 0-0 di laman sendiri oleh Linz tapi masih kekal mendahului Kumpulan D.

Rangers pula seri 1-1 di Porto dalam Kumpulan G manakala Wolves menewaskan Slovan 2-1 di Bratislava dalam Kumpulan K dengan masing-masing mencerahkan peluang mara.

Di Emirates, Arsenal melakukan 10 pertukaran berbanding pasukan yang kalah di tangan Sheffield United pada saingan Liga Perdana, namun barisan berkenaan tampak lagi teruk.

Arsenal ketinggalan seawal minit kesembilan hasil sentuhan bekas pemain Tottenham, Marcus Edwards, yang pernah diberi julukan Lionel Messi Muda.

Namun pemain remaja Brazil, Gabriel Martinelli menyamakan kedudukan menerusi tandukan sebelum Vitoria sekali lagi di depan menerusi Bruno Duarte.

Ketika Arsenal bergelut mencari rentak, Pepe, dibawa masuk lantas meledak gol penyamaan minit ke-64.

Dia sekali lagi muncul wira apabila sepakan percuma lencong minit ke-80 menuju sasaran sekali gus menyelamatkan mata penting buat Gunners.


OLE Gunnar Solskjaer meraikan kemenangan bersama Anthony Martial selepas tamat perlawanan. - Foto Reuters

"Ia gol yang sangat penting buat Pepe," kata pengurus Arsenal, Unai Emery.

"Mulai malam ini, dia meraih keyakinan diri, gol itu penting untuk dirinya dan juga pasukan.”

Di Belgrade, Manchester United sempat meraikan ulang tahun memperingati  'Busby Babes', dan mencuri tiga mata sekali gus menamatkan kemarau sejak Mac.

Gol tunggal Anthony Martial menerusi penalti minit ke-43 memadai buat pelawat itu merakam kemenangan meskipun tuan rumah berjaya lapan kali mencuba ke gawangnya berbanding tiga oleh United. – AFP

Berita Harian X