Selasa, 22 Oktober 2019 | 1:05pm
BEKAS pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan.

Selangor boleh 'tapau' JDT

KUALA LUMPUR: Persembahan pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Sabtu lalu membuktikan Selangor sebenarnya mampu untuk menyaingi kehebatan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Apa tidaknya, ketika beberapa pihak menjangkakan Harimau Selatan akan memperoleh bekalan selesa di gelanggang sendiri, sebaliknya Red Giants hanya tewas tipis 2-1.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan juga turut menganggap satu gol tempat lawan yang diperoleh Selangor memberikan sedikit kelebihan buat mereka bagi mengharungi aksi kedua di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Malah, beliau menjelaskan tidak mustahil untuk anak buah B Sathianathan menyingkirkan JDT di separuh akhir dengan kedua-dua pasukan kini memiliki peluang 50-50.

"Kita lihat JDT lebih mengawal keseluruhan perlawanan (separuh akhir pertama), tapi komitmen yang diberikan pemain Selangor begitu tinggi. Kalau tidak kerana sedikit kealpaan di bahagian pertahanan, saya rasa perlawanan itu mungkin berkesudahan seri.

"Walaupun sudah lama Selangor tidak mengecapi kejayaan, tapi rekod masih dipegang mereka dan saya yakin Selangor juga akan mendapat semangat tambahan daripada penyokong sendiri.

"Cuma JDT ini satu pasukan yang seimbang di setiap posisi dan dengan pengalaman serta kualiti pemain mereka, saya rasa mereka tidak gentar untuk bertandang di tempat lawan," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Mengulas mengenai pertemuan Pahang dan Kedah pula, Wan Jamak menjelaskan Pahang mempunyai kelebihan berdasarkan keputusan seri 3-3 yang diperoleh pada aksi pertama di Stadium Darul Aman, Sabtu lalu.

"Pahang berjaya menjaring tiga gol di sana (Alor Setar), jadi kita boleh lihat kekuatan mereka. Tapi Kedah juga berjaya mendapatkan tiga gol.

"Kita anggap perlawanan ini 0-0 dan pasukan mana yang melakukan kesilapan akan dihukum. Tapi saya sebenarnya suka melihat JDT berdepan Pahang di final," katanya.

Berita Harian X