Sabtu, 19 Oktober 2019 | 11:58pm
Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak. - NSTP/Rozainah Zakaria

Aidil lega, Dollah puas

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak lega selepas pasukannya berjaya bangkit dua kali sebelum mengikat Pahang 3-3 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Mengakui terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, Aidil bagaimanapun tetap memuji semangat juang yang tinggi dipamerkan anak buahnya hingga berjaya mengelak daripada mengalami kekalahan di gelanggang sendiri.


Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh. -NSTP/Muhaizan Yahya

"Syukur kami tak kalah. Pahang pasukan yang handal, kami beri mereka dua peluang dan mereka mengambil peluang itu untuk menjaringkan gol.

"Kita tahu pemain seperti Nor Azam Azih dan Dickson Nwakaeme mampu melakukan rembatan yang baik dan kita harus sekat mereka. Fokus utama kita ke Kuantan nanti adalah cuba mendapatkan satu gol dulu," katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, pengendali Pahang, Dollah Salleh berpuas hati dengan persembahan anak buahnya selepas berjaya membawa bekalan gol tempat lawan untuk mengharungi aksi kedua di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Bagaimanapun, dia mengakui kelekaan di bahagian pertahanan menyebabkan mereka gagal meraih bekalan lebih selesa dari Alor Setar.

"Keputusan 3-3 pun saya bangga. Saya selalu ingatkan kepada pemain bahawa kita tidak boleh beri ruang sedikit pun kepada pasukan Kedah.

"Mereka beraksi di gelanggang sendiri dan kalau kita beri ruang, kita akan terima padah. Jadi, untuk perlawanan tadi kami cuma leka di bahagian pertahanan," katanya.

Berita Harian X