Sabtu, 19 Oktober 2019 | 11:55pm
Aksi penyerang JDT, Muhd Safawi Rasid (kiri) diasak pemain tengah Selangor, Sandro Da Silva Mendoca pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019 di Stadium Larkin, Johor Bahru, sebentar tadi. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Mora akui belum selamat, Sathia merendah diri

JOHOR BAHRU: Keputusan 2-1 yang diraih Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama menyaksikan kedua-dua pasukan masih berpeluang mengintai slot ke final Piala Malaysia musim ini.

Hakikat itu diakui jurulatih JDT, Benjamin Mora yang menyifatkan aksi sebentar tadi sebagai satu tugasan yang sukar buat anak buahnya, namun berpuas hati apabila berjaya mendapatkan dua gol sebagai bekalan ke aksi kedua.

“Aksi ini amat berbeza kerana ia adalah separuh akhir dan banyak faktor yang terbabit. Apapun, saya merasakan kami melakukan tugas yang baik dan berjuang sehingga tamat perlawanan.

"Kami menguasai perlawanan ini namun saingan masih lagi terbuka untuk perlawanan akan datang," katanya.


Jurulatih Selangor, B Sathianathan. - NSTP/Abdullah Yusof

Pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu, slot skuad Harimau Selatan ke final masih belum terjamin selepas menang tipis 2-1 menerusi jaringan Syafiq Ahmad pada minit ke-15 dan Leandro Velazquez (m-49) sementara Ifedayo Olusegun memastikan Selangor membawa pulang satu gol di tempat lawan ke aksi kedua di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Sementara itu, pengendali The Red Giants, B Sathianathan melihat aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam nanti seakan tiada bezanya selepas mengambil kira reputasi yang dimiliki pasukan lawan.

“Aksi menentang JDT adalah sukar tak kira di tempat sendiri atau di tempat lawan dan ia sama saja.

“Sudah tentu ini akan menjadi aksi yang menarik dan saya harap ia berpihak kepada Selangor. Namun, saya berdoa kerana JDT adalah pasukan yang lengkap,” katanya.

Berita Harian X