Sabtu, 19 Oktober 2019 | 11:14pm
Reaksi penyerang JDT, Syafiq Ahmad selepas meledak gol ketika menentang Selangor pada saingan separuh akhir pertama di Stadium Larkin, Johor Bahru, sebentar tadi. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

JDT bawa bekalan tipis ke Shah Alam

 

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) masih belum berada dalam keadaaan selesa untuk memburu pentas final selepas sekadar menang tipis 2-1 menewaskan Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan akan membuat perhitungan pada aksi di Stadium Shah Alam, Sabtu depan dan ia dijangka sengit tatkala skuad The Red Giants memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.


Pemain Selangor, Mohamad Fandi Othman diasak oleh pemain JDT, Safawi Rasid di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, sebentar tadi. - Foto BERNAMA

Pada perlawnanan tadi, JDT yang turun tanpa kelibat penyerang import termahal, Diogo Luis Santo akibat kecederaan mempartaruhkan Syafiq Ahmad mengemudi jentera serangan membentuk kombinasi bersama Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera.

Tanpa kelibat Santo, barisan serangan tuan rumah tampak berbisa apabila mengundang cemas buat benteng skuad The Red Giants menerusi Syafiq yang bertindak solo merembat bola leret pada minit ke-11 namun hanya sipi dari gawang gol.

Usaha berterusan Syafiq membuahkan hasil pada minit ke-14 selepas menyudahkan bola umpanan Leandro Velazquez walaupun cuba diasak penjaga gol, Khairul Azhan Khalid untuk meletakkan tuan rumah mendahului 1-0.


Pemain pertahanan JDT, Mohd Azrif Nasrulhaq (kanan) mengekang pemain Selangor, Mohd Syazwan Zainon di Stadium Larkin, Johor Bahru, sebentar tadi. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Namun selang dua minit kemudian, anak didik B Sathiananthan bangkit menyamakan kedudukan apabila Ifedayo Omosuyi yang berada di dalam kotak penalti memperdaya Mauricio Nascimento sebelum merembat bola tepat ke penjuru kanan menewaskan Farizal Marlias.

Gawang pelawat terselamat pada minit ke-30 selepas bola rembatan deras Mohd Afiq Fazail di luar kotak penalti memaksa Khairul Azhan melayangkan badan untuk menepis bola bagi mengelak dibolosi.

Bersambung babak kedua, tuan rumah kembali mendahului 2-1 pada minit ke-49 apabila gerakan dimulakan Mohd Afiq Fazail yang menolak bola kepada Velazquez membolehkan pemain itu meledak rembatan kencang tepat ke penjuru kanan menewaskan Khairul Azhan.


Mohd Azrif Nasrulhaq (depan) mengasak penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun Patrick (tengah) di Stadium Larkin, Johor Bahru. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Nasib tidak menyebelahi skuad The Red Giants pada minit ke-70 selepas bola rembatan leret Omosuyi di luar kotak penalti sekadar singgah ke tiang kiri gol malah rembatan susulan Khyril Muhymeen Zambri turut singgah ke tiang sama dan kedudukan 2-1 memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan.

Berita Harian X