Jumaat, 18 Oktober 2019 | 10:24am

UEFA denda City, Liverpool dan Ajax

LONDON: Manchester City dan Liverpool masing-masing didenda oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) susulan kekacauan di stadium ketika perlawanan Liga Juara-Juara bulan ini.

Jawatankuasa Kawalan, Etika dan Lembaga Disiplin UEFA mendakwa dua kelab itu minggu lalu dan mengumumkan hukuman selepas perbincangan semalam.

City dikenakan denda sebanyak €15,750 (RM67,600) atas tindakan penyokong mereka membaling objek ketika menang 2-0 ke atas Dinamo Zagreb pada 1 Oktober.

Dinamo turut didenda €20,000 (RM92,040) atas kesalahan sama dan melakukan kerosakan di Stadium Etihad.

Liverpool pula didenda €10,000 (RM44, 720) angkara gagal mengawal penyokong yang menyerbu masuk ke dalam padang ketika menang 4-3 ke atas Salzburg di Anfield pada 2 Oktober.

Dalam insiden itu, sekumpulan penyokong remaja mereka memanjat pagar dan meluru ke arah Andy Robertson untuk mendapatkan jersinya manakala penyokong lain menceroboh padang pada pertengahan babak kedua. 

Salzburg juga didenda €3,250 (RM14,560) kerana kesalahan membaling objek.

Ajax dalam pada itu diperintah membayar denda sebanyak €68,000 (RM305,760) angkara kerosakan dan kekacauan penonton ketika kunjungan ke Mestalla sekali gus menyaksikan penyokong mereka diharamkan membeli tiket bagi aksi menentang Chelsea 11 November ini.

Mereka juga perlu berunding dengan Valencia dalam tempoh 30 hari untuk membincangkan jumlah pampasan kerosakan. – Agensi

Berita Harian X