Selasa, 15 Oktober 2019 | 11:02pm
Ketua jurulatih skuad Kebangsaan, Tan Cheng Hoe. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Peluang Harimau Malaya terus terbuka

KUALA LUMPUR: Kemenangan 2-1 Thailand ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Thammasat, hari ini terus membuka peluang buat Malaysia dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Kemenangan itu menyaksikan Thailand mengungguli Kumpulan G, tetapi berkongsi tujuh mata bersama Vietnam di kedudukan kedua sementara UAE menghuni tangga ketiga dengan enam mata.

Harimau Malaya yang tewas 0-1 kepada Vietnam di Hanoi, Khamis lalu kekal di kedudukan keempat dengan mengumpul tiga mata selepas tiga perlawanan.

Walaupun peluang masih terbuka luas, namun skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe perlu memastikan mereka tidak lagi tercicir mata penting terutama membabitkan tiga aksi di gelanggang sendiri berdepan Thailand (14 November), Indonesia (19 November) dan Vietnam (31 Mac).

Pada perlawanan itu, Teerasil Dangda meletakkan Thailand di depan pada minit ke-26 sebelum Ali Ahmed Mabkhout menyamakan kedudukan buat UAE pada minit ke-45.

Thailand bagaimanapun kembali berada di depan selepas enam minit babak kedua bersambung hasil jaringan Eakkanit Punya, sekali gus menjadi gol kemenangan skuad Gajah Perang.

Terdahulu, Vietnam menambah derita Indonesia selepas membenam skuad Garuda 3-1 di Stadium Kapten I Wayan Dipta, Bali.

Ia adalah kekalahan keempat berturut-turut dialami Indonesia yang menyaksikan mereka kekal di kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.

Vietnam membuka tirai jaringan menerusi Do Duy Minh pada minit ke-26 sebelum Que Ngoc Hai dan Nguyen Tien Linh menambah dua lagi gol pelawat pada minit ke-55 dan 61.

Indonesia meraih gol tunggal enam minit sebelum perlawanan tamat hasil jaringan Irfan Bachdim, namun sudah terlambat untuk mereka sekurang-kurangnya bangkit mendapatkan mata pertama dalam kempen kelayakan kali ini.

Berita Harian X