Isnin, 14 Oktober 2019 | 10:23pm
JORDAN Henderson dan Virgil van Dijk.

'Henderson kapten, Van Dijk ketua'

LONDON: Jordan Henderson mungkin memakai lilitan kapten di Liverpool tetapi Virgil van Dijk turut menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin, kata bekas pertahanan Reds, Sami Hyypia.

Selain pemain tengah berpengalaman itu, James Milner diberikan tanggungjawab sebagai naib kapten di Anfield tetapi bagi Hyypia, Van Dijk yang disifatkan sebagai jawapan kepada teka-teki Liverpool membuktikan dari masa ke semasa dia mampu memikul tugas berkenaan.

 “Dia tidak memakai lilitan kapten, tetapi dia memiliki semua ciri-ciri seorang ketua,” kata Hyypia. “Kamu tidak memerlukan lilitan kapten untuk menjadi pemimpin atau karakter yang penting di atas padang atau bilik persalinan.

“Kami memerlukan pemimpin, dan kemudian Virgil tiba, dia mengisi kekosongan berkenaan. Berdasarkan pandangan saya, Jordan Henderson dan James Milner adalah kapten dan naib kapten yang bagus, tetapi dua tidak cukup, kamu mungkin memerlukan empat atau lima.

“Virgil adalah tambahan yang bagus dan dia mengambil semua beban dua kapten ini. Dia memberikan banyak keyakinan kepada semua orang, sentiasa bersuara di atas padang dan memastikan semua orang di sekelilingnya bermain dengan baik.

“Bagi saya, dia adalah jawapan terakhir kita untuk memburu gelaran Liga Perdana. Dari sudut serangan, kita bergerak ke arah yang betul tetapi ketika bertahan, kita memerlukannya di bahagian tengah.”

Musim lalu, Liverpool yang menjuarai Liga Juara-Juara gagal mengekang Manchester City untuk menjulang trofi Liga Perdana apabila dibezakan dengan satu mata.

Begitupun, mereka ketika ini menghuni tangga teratas liga selepas lapan perlawanan dan memenangi kesemua aksi dan dibezakan lapan mata di depan City. - Agensi

 

 

Berita Harian X