Sabtu, 12 Oktober 2019 | 10:19am
PEMAIN Republik Czech meraikan kejayaan menewaskan England 2-1. - Foto AFP

'Czech Cobra' lebur kekebalan 10 tahun England

PRAGUE: Penantian lebih sedekad sayap Republik Czech, Zdenek Ondrasek yang lebih dikenali sebagai ‘Czech Cobra’ untuk diserap ke pasukan kebangsaan negaranya berbaloi pagi tadi apabila menyumbat gol kemenangan babak kedua untuk menang 2-1 mengatasi England dalam saingan peringkat Kumpulan A Kelayakan Euro 2020.

Sentuhan pemain berusia 30 tahun yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-65 itu jelas mengubah nasib mereka apabila menyumbat gol kemenangan melepasi jangkauan penjaga gol pelawat, Jordan Pickford selepas menerima umpanan dari Lukas Masopust lima minit sebelum tamat.

Jaringan kemenangan itu meletakkan Republik Czech di tangga teratas Kumpulan A sekali gus menghadiahkan kekalahan pertama England di peringkat kelayakan dalam tempoh 10 tahun.

Pengurus Czech, Jaroslav Silhavy, yang pernah menjadi jurulatih Ondrasek ketika kerjaya awalnya, berkata dia memasukkan penyerang itu kerana tahu dia akan meledak gol selepas melihatnya menyumbat gol di liga MLS Amerika Syarikat.

"Memang benar saya mengenali rapat Zdenek," kata Silhavy.

"Ketika latihan dia ada menyumbat gol dan sikap positifnya setiap kali ketika bercakap dengannya. Jadi semua itu membantu kami memilihnya dan ia jelas berbaloi memilihnya.”

Ondrasek memulakan kariernya dengan menyertai pasukan Ceske Budejovice di divisyen kedua pada 2007 sebelum bergelut di divisyen ketiga selepas itu.

Dia bagaimanapun beroleh peluang mendaki ke kelab utama Norway, Tromso pada 2012 sebelum menyertai Kelab Wisla Krakow pada 2016 yang menyaksikannya meledak 20 gol dalam 66 perlawanan Liga Poland itu.

Ondrasek, yang mendapat nama julukan sempena ukiran tatoo ular tedung di belakang badannya, juga menjaring tujuh gol sepanjang 17 penampilan bersama FC Dallas dalam liga MLS Amerika Syarikat pada 2018. – Reuters

Berita Harian X