Khamis, 10 Oktober 2019 | 11:03pm
NORSHAHRUL Idlan Talaha cuba melepasi pemain Vietnam pada perlawanan Malaysia menentang Vietnam bagi kelayakan Piala Dunia peringkat Kumpulan G, pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, sebentar tadi. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Harimau Malaya tewas di Hanoi

 

HANOI: Impian Harimau Malaya menamatkan kemarau kemenangan di Hanoi lebur apabila terpaksa akur tewas tipis 0-1 kepada Vietnam di Stadium My Dinh, sebentar tadi.

Corak permainan dipamerkan skuad Naga Emas di bumi sendiri langsung tidak mengejutkan kenapa mereka mampu menghuni ranking 99 dunia dan keputusan itu membuktikan masih banyak kerja rumah perlu direncana Tan Cheng Hoe.

Pada perlawanan tadi, sekali pun berjaya menguasai hampir keseluruhan permainan, tuan rumah hanya bergantung kepada jaringan tunggal, Nguyen Quang Hai di babak pertama.


PEMAIN Negara, Norshahrul Idlan Talaha diasak pemain Vietnam, Nguyen Tuan Anh di Stadium My Dinh, sebentar tadi. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Walaupun berjaya mencipta beberapa gerakan menarik untuk menghasilkan jaringan, Vietnam pantas membuktikan yang 45 minit pertama menjadi milik mereka sambil pertahanan negara dilihat beberapa kali melakukan sedikit kesilapan.

Minit ke-28, Stadium My Dinh bergegar apabila Quang Hai menggegar gawang negara namun ia dibatalkan kerana penyerang tuan rumah itu terlebih dulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Sebaik aksi memasuki minit ke-40, Quang Hai akhirnya berjaya menebus kekecewaan untuk memastikan Vietnam memasuki bilik persalinan dengan kelebihan satu gol.

Bersambung babak kedua, skuad Naga Emas seakan tidak kenal erti lelah dan terus mempamer permainan pantas hingga meletakkan pemain negara dalam situasi tertekan.

Minit ke-72, pemain gantian Vietnam, Nguyen Anh Duc hampir menghukum Harimau Malaya buat kali kedua tetapi kali ini, Shahrul Saad berada di kedudukan tepat untuk mengeluarkan bola atas garisan gol ketika gawang negara sudah terbuka luas.


PEMAIN Negara, Muhammad Syafiq Ahmad diasak pemain Vietnam di Stadium My Dinh, sebentar tadi. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Berita Harian X