Khamis, 10 Oktober 2019 | 7:17pm

Stadium My Dinh mula meriah

HANOI: Selain pertemuan dengan Indonesia, aksi dengan Vietnam sentiasa menarik minat penyokong kedua-dua pasukan yang pastinya mahu melihat kejayaan menjadi milik negara masing-masing.

Kemeriahan dan sambutan hangat peminat Vietnam dan penyokong Harimau Malaya yang berkunjung ke Hanoi nyata hebat dan ia dapat disaksikan sendiri sepanjang jalan menuju ke Stadium My Dinh.

Walaupun perlawanan hanya bermula jam 9 malam ini waktu Malaysia, penyokong kedua-dua pasukan khususnya rakyat Vietnam mula membanjiri perkarangan stadium seawal jam 3 petang waktu tempatan.

Bagi penyokong Malaysia, Mustaza Mustapha, 52, harapan untuk menyaksikan Malaysia menang tetap tinggi.


GELAGAT penyokong Malaysia ketika ditemui di Stadium My Dinh. - Foto Mohd Yusni Ariffin

ANTARA gelagat penyokong Malaysia dan Vietnam ketika ditemui di Stadium My Dinh. - Foto Mohd Yusni Ariffin

"Ini adalah kali pertama saya ke luar negara untuk berikan sokongan kepada skuad kebangsaan. Ia pastinya pengalaman yang menarik kerana saya turut disantuni warga Vietnam," katanya ketika ditemui di Stadium My Dinh.

Sementara itu, seorang lagi penyokong Malaysia, Mohd Tirmidzi Hairi Yazid, 30, yang hadir ke stadium dengan berbaju Melayu melahirkan rasa bangga dengan prestasi semasa skuad kebangsaan.

"Ini kali ketiga saya ke luar negara menyaksikan perlawanan membabitkan skuad kebangsaan. Adalah orang tengok-tengok kepada saya dan pasti saya teruja dengan situasi itu.

"Memang saya sentiasa pasang niat untuk terus ke mana saja berikan sokongan kepada skuad kebangsaan dan kalau ada rezeki saya juga akan turut bersama Harimau Malaya ketika menentang Emiriah Arab Bersatu di tempat lawan," katanya.

Tinjauan di perkarangan stadium nyata meriah terutama gelagat penyokong.

Selain ragam peminat, pelbagai aktiviti berlangsung di stadium khususnya buat peminat skuad Naga Emas.


PENYOKONG mula membanjiri perkarangan Stadium My Dinh bagi menyaksikan perlawanan antara Vietnam dan Malaysia. - Foto Mohd Yusni Ariffin

PENYOKONG Malaysia dan Vietnam bergambar bersama ketika ditemui di Stadium My Dinh. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X