Khamis, 10 Oktober 2019 | 7:17am
Pemain Argentina, Lucas Alario (tengah) dicabar pemain Jerman, Emre Can pada perlawanan persahabatan, awal pagi tadi. - Foto EPA

Scaloni kagum kebangkitan Argentina

DORTMUND: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni memuji kebangkitan skuad kendaliannya yang kehilangan Lionel Messi apabila mereka meledak gol pada babak kedua untuk mengikat Jerman 2-2 pada aksi persahabatan, awal pagi tadi.

Jerman yang sedang mengharungi proses eksperimen mendahului 2-0 selepas babak pertama menerusi jaringan Serge Gnabry dan Kai Havertz sebelum Lucas Alario merapatkan jurang buat pelawat selepas sejam perlawanan berlangsung.

Alario yang beraksi bersama kelab Jerman, Bayer Leverkusen terus beraksi cemerlang apabila menyempurnakan umpanan buat Lucas Ocampos bagi jaringan penyamaan di minit-minit terakhir permainan.

“Kami matang ketika permainan,” kata Scaloni. “Kami melakukan dua atau tiga kesilapan pada babak pertama, tetapi kami meraihnya semula pada babak kedua, kami lebih positif dan ia lebih positif untuk masa depan.

“Saya kagum dengan sikap yang ditampilkan, kami tidak mengalah apabila kami ketinggalan 2-0.”


Pemain Argentina, Paulo Dybala (kiri) bersaing dengan pemain Jerman, Joshua Kimmich pada aksi perlawanan persahabatan di Dortund, Jerman, awal pagi tadi. - Foto EPA

Jurulatih Jerman, Joachim Loew mengakui persembahan hebat pasukan mengendur selepas mengharungi permulaan yang baik.

“Kami mahu berada dalam permainan sejak mula hingga akhir, tetapi malangnya kami tidak mampu bertahan selama 90 minit,” kata Loew. “Kami kehilangan bola beberapa kali, sedikit keberanian dan berdepan masalah.” 

Bintang Barcelona, Messi tidak bermain selepas menjalani penggantungan susulan komennya ketika di Copa America yang menyaksikan jentera serangan Argentina dipacu pemain Juventus, Paulo Dybala dan Lautaro Martinez. - AFP

Berita Harian X