Rabu, 9 Oktober 2019 | 12:26pm

EPL bakal hilang satu slot Liga Juara-Juara

LONDON: Liga Perdana Inggeris berdepan kehilangan satu slot automatik ke Liga Juara-Juara di bawah cadangan baharu yang sedang dibincang liga-liga Eropah.

Kriteria kelayakan lebih sengit membabitkan liga tertinggi Inggeris itu, Serie A, La Liga dan Bundesliga bakal dilakukan seawal-awalnya dua musim lagi.

Liga Perdana belum ditanya secara rasmi berkenaan cadangan mengurangkan slot automatik kepada tiga, tetapi ketua Liga-liga Eropah, Lars-Christer Olsson yakin liga-liga terbabit akan bersetuju dengan pengurangan itu.

“Saya rasa beberapa liga besar akan bersetuju jika mereka semua dilayan sama adil,” kata Olsson, yang cadangannya akan dibincangkan dengan Liga Perdana bulan depan.

“Jika anda memberikan empat slot kepada Liga Perdana dan mengambil satu daripada Bundesliga, anda akan menghadapi masalah. Liga-liga besar bersedia menerima pembaharuan sekiranya mereka dilayan sama rata.”

Di bawah perubahan itu, pasukan di tangga keempat mungkin perlu mengharungi kelayakan pra-musim seperti sebelumnya. Satu lagi pilihan ialah mengehadkan kepada hanya tiga pasukan.

Menurut Olsson 13 perlawanan dalam laluan ke final Liga Juara-Juara sekarang adalah jumlah yang terbaik, dan dia menentang cadangan penubuhan liga elit Eropah baharu oleh pengerusi Juventus, Andrea Agnelli yang juga ketua Persatuan Kelab Eropah.

Olsson bagaimanapun menyokong usaha untuk meningkatkan kualiti kejuaraan elit Eropah itu. – AGENSI

Berita Harian X