Rabu, 9 Oktober 2019 | 12:15pm

Kuku Harimau Malaya makin tajam!

Kolum Apabila Penyokong Bersuara

 

Semboyan ‘Hanoi Calling’ sudah makin kuat dicanang!

Penyokong Harimau Malaya sudah bersedia untuk bergerak ke Hanoi. Pengumpulan comrad Ultras digerakkan dari ultras negeri. Penyokong lain bersedia mengekori. Perancangan ke Hanoi disusun.

Mungkin kumpulan ini kecil. Tetapi gerakan penyokong ini sudah bersedia untuk mendendangkan lagu “Inilah barisan kita, siap sedia berjuang, untuk ibu pertiwi.”

Perkembangan terkini di Malaysia, makin ramai ekor ‘awayday’ yang sanggup berkorban masa dan wang ringgit. ‘National Calling’ untuk menjadi ekor-ekor semakin disahut.

Ultras Malaya memainkan peranan penting. Bukan saja membawa comrad Ultras, tetapi mengkordinasikan ekor-ekor ‘awayday’ yang lain. Terima kasih Ultras Malaya.

Menyingkap malam 15 Disember tahun lalu, ketika Malaysia tewas agregat 3-2 kepada Vietnam. Masih terbayang keriuhan penyokong Naga Emas di stadium My Dinh. Bingit dengan vuvuzela.

Kemuraman penyokong Malaysia di tambah lagi sakit apabila terpaksa menghadapi kemeriahan meraikan kemenangan lawan itu sepanjang malam. Kami ingat tarikh ini. Kami akan kembali.

Seluruh Malaysia percaya akan tiba masa untuk datang kembali membalas dendam dengan kemenangan. Pasti akan datang hari itu, ekor sedia untuk mengekori.

Rupanya, waktu itu tidak lama. Malaysia diundi dalam satu kumpulan bersama Vietnam untuk kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023. Inilah masanya!

Tugas ekor bersedia menyokong Harimau Malaya. Kami ke stadium sehati sejiwa. Sejak tamat kemasyhuran penyerang Safee Sali, tiada nama hebat untuk mengganas sebagai penyerang.

Tetapi sejak kempen kelayakan Piala Dunia kita disajikan dengan semangat menyerang sampai mati. Harimau yang sedia berjuang di Hanoi sudah makin meningkat prestasi dan keyakinan mereka sudah tinggi.

Bersedia Harimau Malaya kali ini untuk mengaum dengan lebih hebat. Teruskan perjuangan ini Harimau Malaya. Garuda sudah dibaham. Gelora Bung Karno sudah dirobohkan!

Kini tiba masa untuk kita tundukkan Naga Emas. My Dinh kita tawan. Pada pemain Malaysia, demi lencana di dada, usah gentar. Teruskan langkah kejayaan. Kalian sudah buktikan, sejarah 10-0 sudah dipadamkan. Inikan pula sejarah 1-0 perlawanan akhir AFF 2019.

Mari buktikan di Hanoi. Perlawanan di Hanoi ini amat penting. Penting untuk menguji percaturan terbaik Tan Cheng Hoe. Penting untuk kita dapatkan tiga mata penuh. Pasukan kali ini antara yang terbaik untuk Malaysia. Semoga kita diberikan kemenangan.

Ayuh Malaysia! Ayuh Harimau Malaya! Usah Gentar! Harimau Malaya, kami selalu ada, walau di mana pun berada. Kami di sini terus menjadi ekor harimau sejati.

 

Penulis Shuhairy Norhisham adalah penyokong tegar Harimau Malaya.

Berita Harian X