Selasa, 8 Oktober 2019 | 12:56pm
PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. - Foto AFP

'Jawatan Solskjaer tidak terancam'

LONDON: Manchester United masih menyokong penuh Ole Gunnar Solskjaer sekali pun kelab itu mengharungi permulaan terburuk semusim dalam tempoh 30 tahun di bawah kendaliannya.

Kekalahan 1-0 kepada Newcastle menyaksikan skuad bimbingan Solskjaer menghuni tangga ke-12 Liga Perdana dan hanya dibezakan dua mata daripada zon penyingkiran.

United hanya menang dua daripada 13 perlawanan terakhir Liga Perdana di bawah kendalian pengurus dari Norway itu dengan hanya tiga gol berjaya diledakkan dalam enam perlawanan terakhir termasuk ketika menentang kelab kerdil, Rochdale serta Astana di Liga Europa.

Begitupun, sumber rapat kelab berkenaan semalam berkata Solskjaer masih mendapat sokongan daripada keluarga Glazer, Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward dan lembaga pengarah di OId Trafford.

Mereka menyatakan kedudukan bekas penyerang itu tidak terancam dan kelab kekal komited dengan program jangka masa panjang yang dirangka olehnya.

Dipercayai, United turut mengakui betapa proses peralihan memakan masa dan kekal menyokong penuh pengurus berkenaan.

Sumber itu turut menegaskan yang ketiadaan beberapa pemain utama antaranya Paul Pogba, Anthony Martial, Luke Shaw, Jesse Lingard, Victor Lindelof, Aaron Wan-Bissaka, Phil Jones dan Eric Bailly menjadi punca kekalahan skuad berkenaan di St James Park.

Solskjaer meminta maaf kepada peminat susulan kekalahan itu dan David de Gea serta penyerang Marcus Rashford mengakui situasi itu tidak boleh diterima. 

Begitupun mereka boleh mengubah kembali situasi itu apabila dijadual menentang pendahulu liga, Liverpool di Old Trafford selepas rehat antarabangsa. - Agensi

Berita Harian X