Isnin, 7 Oktober 2019 | 10:57am
FRANK Lampard

Lampard gesa Chelsea terus meningkat

SOUTHAMPTON: Frank Lampard menegaskan Chelsea masih perlu meningkatkan prestasi selepas Tammy Abraham dan Mason Mount meraikan kejayaan disenarai dalam skuad kebangsaan England dengan kemenangan 4-1 ke atas Southampton, malam tadi.

Abraham, Mount dan seorang lagi rakan sepasukan mereka di Chelsea, Fikayo Tomori disenaraikan pengurus England, Gareth Southgate dalam skuad yang akan mengharungi perlawanan kelayakan Euro 2020 menentang Republik Czech dan Bulgaria, minggu ini.

Trio muda berbakat itu terus mempamer aksi membanggakan di Stadium St Mary dengan Abraham dan Mount masing-masing mengekalkan prestasi terbaik pada musim ini.

Kemenangan menyaksikan Chelsea mendaki ke tangga kelima Liga Perdana menuju rehat antarabangsa yang tidak boleh dilupakan buat ketiga-tiga pemain muda berbakat berkenaan.

“Saya gembira kami berada dalam kelompok teratas. Jelas Liverpool agak jauh di kedudukan mereka ketika ini tetapi ia masih awal dan kami berada dalam posisi yang baik,” kata Lampard.


FRANK Lampard meraikan kemenangan bersama N'Golo Kante dan Kurt Zouma selepas perlawanan menentang Southampton. - Foto Reuters

“Ini sepatutnya memberikan kami keazaman untuk mengharunginya (aksi antarabangsa) dan kembali dengan tekad yang sama kerana sejurus kamu rasa bersenang lenang dalam liga ini, kesemuanya boleh berubah dengan amat pantas.”

Selepas Abraham, 22, membuka tirai jaringan pada minit ke-17 yang menjadi gol kesembilannya untuk Chelsea musim ini, Mount, 20, menggandakan kelebihan itu pada minit ke-24.

Danny Ings merapatkan kedudukan buat Southampton pada minit ke-30 tetapi jaringan N'Golo Kante pada minit ke-40 dan gol Michy Batshuayi pada minit ke-89 memastikan Chelsea merakam kemenangan keempat berturut-turut dalam semua kejohanan terakhir.

“Kami tidak boleh memberikan sedikit ruang kepada pihak lawan. Ia adalah mata untuk kami semua dan segala-galanya masih jauh. Kami kekurangan beberapa mata berbanding yang kami jangkakan. Berdasarkan prestasi ia bukannya nasib yang buruk, hanya saya membuat kritikan tetapi saya gembira.” -  AFP

Berita Harian X