Ahad, 6 Oktober 2019 | 11:28am
PEMAIN Leicester City, Hamza Choudhury (kiri) dilayangkan kad kuning selepas mengasari pemain Liverpool, Mohamed Salah. - Foto AFP

Patut kad merah - Klopp

LIVERPOOL: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan pemain Leicester City, Hamza Choudhury patut dilayangkan kad merah susulan terjahan kerasnya terhadap Mohamed Salah ketika aksi Liga Perdana, semalam.

Penyerang sensasi Mesir, Salah terpaksa dipapah keluar susulan tindakan Choudhury di Anfield itu tetapi ia tidak menghalang Liverpool menang 2-1.

Choudhury yang juga pemain skuad bawah 21 tahun England hanya dilayangkan kad kuning berikutan tindakannya tetapi bagi Klopp, kesalahan seperti itu yang menyebabkan Salah terpaksa dikeluarkan sepatutnya menerima tindakan lebih tegas.

“Bagaimana Mo tidak apa-apa? Bagaimana dia (Choudhury) hanya menerima kad kuning?” kata Klopp. “Ia adalah terjahan yang saya benar-benar tidak dapat fahami.

“Mengapa dia melakukannya, kerana bola berada amat jauh. Pemain yang berlari laju dengan niat untuk menjatuhkannya tanpa ada bola, bagi saya hanya satu warna iaitu merah. 

“Saya melihatnya di mata kamu yang mungkin saya seorang dapat melihatnya seperti itu. Ia terlalu merbahaya. Saya tidak mahu ia mengakibatkan pemain itu (Choudhury) sebarang masalah tetapi dia perlu bertenang. Ini bukan situasi pertama seperti ini. Pemain-pemain hebat berdepan cabaran seperti ini.”

Ketika Salah digantikan dengan perlawanan sedang terikat 1-1, Sadio Mane yang membuka tirai jaringan Liverpool memenangi penalti yang kemudian disempurnakan pemain veteran, James Milner pada masa kecederaan.

Mengulas tuduhan yang menyatakan Mane sengaja merebahkan badan, Klopp berkata dia tidak melihat sedemikian.

“Penalti itu jelas adalah penalti. Saya gembira dengan cara kami bermain, kami mendapat keputusan yang diharapkan dan ia menakjubkan. Kami tahu ia mungkin berlaku, kami tahu yang kami perlu berjuang untuk mendapatkan kemenangan dan kami lakukannya.” - Agensi

Berita Harian X