Sabtu, 5 Oktober 2019 | 9:48pm

'Ekor' Harimau Malaya simpan tenaga aksi Malaysia-Sri Lanka

KUALA LUMPUR: ‘Ekor’ Harimau Malaya atau penyokong skuad bola sepak kebangsaan seakan 'menyimpan tenaga' apabila tidak ramai yang hadir menyaksikan perlawanan persahabatan antara anak buah Tan Cheng Hoe menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Faktor cuaca buruk dan kedudukan Sri Lanka lebih rendah dalam ranking dunia dilihat jadi antara beberapa faktor yang menyumbang kepada banyak tempat duduk di stadium kosong berbanding perlawanan lain sebelum ini.

Skuad Harimau Malaya kini menghuni tangga 158 dunia manakala Sri Lanka menghuni tangga 202.

PEMAIN bola sepak Sri Lanka Kurukulasuryage Dilip Suraj Pieris cuba melepasi kubu pertahanan pasukan negara ketika perlawanan Bolasepak Persahabatan di antara Malaysia menentang Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Tinjauan di sekitar stadium menyaksikan kehadiran penyokong tidak sehebat ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan persahabatan bertemu Jordan sebelum ini.

Sambutan kepada perlawanan kali ini juga tentunya tidak sebegitu hebat berbanding dengan bilangan mereka yang menyaksikan konsert penyanyi antarabangsa, Shawn Mendes di Axiata Arena, bersebelahan Stadium Nasional.

Walaupun tanpa kehadiran yang ramai, apa juga keputusan pada perlawanan ini bakal jadi penilaian awal buat Cheng Hoe sebelum skuad Harimau Malaya bertemu Vietnam, Khamis ini.

ULTRAS malaya meraikan jaringan gol ke tiga negara ketika perlawanan Bolasepak Persahabatan di antara Malaysia menentang Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin
PEMAIN bola sepak negara meraikan jaringan gol ketika perlawanan Bolasepak Persahabatan di antara Malaysia menentang Sri Lanka di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin
ANTARA penyokong bola sepak di luar stadium sempena perlawanan bola sepak persahabatan Malaysia bertemu Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X