Sabtu, 5 Oktober 2019 | 12:08pm
Reaksi pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer selepas tamat perlawanan menentang AZ Alkmaar pada Liga Europa, semalam. - Foto AFP

Peluang Man Utd akhiri badi tempat lawan

NEWCASTLE: Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United sedang berdepan tempoh yang sukar ketika dia cuba membina semula pasukannya, dan kunjungan ke Newcastle esok menawarkan peluang terbaik untuk mereka menamatkan rekod buruk tempat lawan.

Keputusan terikat tanpa jaringan dengan AZ Alkmaar kelmarin meninggalkan United tanpa kemenangan di tempat lawan sepanjang 10 perlawanan lalu.

Mereka langsung tidak pernah memenangi perlawanan di luar Old Trafford sejak kemenangan dramatik Liga Juara-Juara Mac lalu ke atas Paris Saint-Germain.

Kali terakhir United mengalami situasi sama adalah pada tahun 1989 di mana mereka gagal mencatat kemenangan tempat lawan dalam 11 perlawanan – antara sejarah paling buruk kelab berkenaan.

Masalah ketara yang dihadapi United ketika ini adalah kegagalan jentera serangannya menghasilkan gol selain kurangnya kreativiti di bahagian tengah.

Benteng kendalian Solskjaer juga kekal rapuh walaupun berbelanja besar untuk mendapatkan pertahanan termahal dunia Harry Maguire dan Aaron Wan-Bissaka 

Malah, Solskjaer akhirnya akur bahawa United tidak lagi ditakuti lawan sama seperti di bawah tempoh cemerlang 27 tahun Alex Ferguson.

“Kami tidak lagi berada pada era 1990-an, ia adalah era yang berbeza. Kelompok pemain berbeza yang sedang dibangunkan,” kata Solskjaer.

Dilimpahi pemain muda berpotensi termasuk Mason Greenwood dan Axel Tuanzebe, Solskjaer cuba memberi gambaran betapa hanya dengan menaruh kepercayaan terhadap pemain belia saja dapat mengembalikan era kegemilangan Ferguson.

“Kami sedar terdapat naik dan turun. Saya bersedia untuk melihat pemain muda ini berkembang,” kata Solskjaer yang mungkin kehilangan khidmat Paul Pogba dan Jesse Lingard untuk Sabtu ini. – AFP

Berita Harian X