Jumaat, 4 Oktober 2019 | 12:01am
PAUL Pogba

Pogba diketepi Perancis, Mbappe, Kante kembali disenarai

PARIS: Paul Pogba diketepikan Perancis bagi mengharungi aksi kelayakan Euro 2020 menentang Iceland dan Turki, hari ini tetapi N'Golo Kante dan sensasi muda, Kylian Mbappe kembali disenaraikan.

Pogba yang ketika ini bergelut dengan kecederaan kaki dan turut disisihkan Manchester United bagi perlawanan Liga Europa menentang AZ Alkmaar, awal pagi ini.

Pemain tengah itu begitupun beraksi ketika United terikat 1-1 dengan Arsenal, awal pagi Selasa lalu.

Pemain Chelsea, Kante yang berdepan kecederaan pada awal musim ini tidak diturunkan bermain ketika Perancis mencatat kemenangan ke atas Albania dan Andorra, bulan lalu.

Sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Mbappe pula baru saja pulih daripada kecederaan hamstring.

Selain itu, rakan sepasukan Mbappe di PSG, Presnel Kimpembe turut disenaraikan tetapi seorang lagi pertahanan, Samuel Umtiti dan Aymeric Laporte diketepikan.

N'GOLO Kante dan sensasi muda, Kylian Mbappe. - Foto AFP

Pemain Tottenham Hotspur, Tanguy Ndombele juga disenaraikan tetapi pemain tengah Arsenal, Matteo Guendouzi digugurkan ke skuad bawah 21 tahun.

Juara dunia itu akan bertemu Iceland di Reykjavik pada Jumaat depan sebelum menanti kunjungan Turki di Stade de France pada 14 Oktober. 

Perancis ketika ini menghuni tangga teratas Kumpulan H bersama Turki selepas mengumpul 15 mata daripada enam perlawanan manakala Iceland ketinggalan tiga mata di belakang. - Reuters

 

Senarai skuad Perancis

Penjaga gol: Alphonse Areola (Real Madrid/ESP), Hugo Lloris (Tottenham Hotspur/ENG), Steve Mandanda (Marseille)

Pertahanan: Lucas Digne (Everton/ENG), Leo Dubois (Lyon), Lucas Hernandez (Bayern Munich/GER), Presnel Kimpembe (Paris Saint-Germain), Clement Lenglet (Barcelona/ESP), Benjamin Pavard (Bayern Munich/GER), Raphael Varane (Real Madrid/ESP), Kurt Zouma (Chelsea/ENG)

Tengah: N'Golo Kante (Chelsea/ENG), Blaise Matuidi (Juventus/ITA), Tanguy Ndombele, Moussa Sissoko (both Tottenham Hotspur/ENG), Corentin Tolisso (Bayern Munich/GER)

Penyerang: Wissam Ben Yedder (Monaco), Kingsley Coman (Bayern Munich/GER), Olivier Giroud (Chelsea/ENG), Antoine Griezmann (Barcelona/ESP), Jonathan Ikone (Lille), Thomas Lemar (Atletico Madrid/ESP), Kylian Mbappe (Paris Saint-Germain)

Berita Harian X