Sabtu, 28 September 2019 | 12:17am
Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba. - Foto AFP

Pogba semakin kesuntukan waktu

LONDON: Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba semakin kesuntukan masa bagi cergas sepenuhnya untuk aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Arsenal, awal pagi Selasa ini, waktu Malaysia.

Pogba disahkan mengalami kecederaan buku lali ketika United menewaskan Rochdale dalam saingan Piala Liga, kelmarin.

Dia kembali dalam kesebelasan utama United pada pertemuan dengan Rochdale tetapi kecederaan lamanya yang menyaksikan dia berehat selama sebulan kembali menghantui pemain antarabangsa Perancis itu.

"Dia menamatkan perlawanan dan mengalami kecederaan buku lali. Jadi, adalah lebih baik dia tidak pergi ke sana (mesyuarat pasukan).

"Dia belum pasti dapat diturunkan menentang Arsenal," kata pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer.

Solskjaer turut mengesahkan Anthony Martial dan Marcus Rashford hampir pasti diketepikan untuk aksi menentang Arsenal selepas kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan betis dan pangkal paha.

Bagaimanapun, pemain pertahanan kiri, Luke Shaw sudah kembali menyertai sesi latihan skuad utama.

"Saya tidak bertaruh dengan mengatakan Rashford dan Martial akan kembali pulih. Ini adalah sebahagian daripada bola sepak - kamu bekerja dengan apa yang kamu ada.

"Luke Shaw sudah kembali berlatih hari ini, jadi kita lihat bagaimana reaksinya beberapa hari ini," katanya.

Krisis kecederaan yang melanda The Red Devils dijangka menyaksikan pemain berusia 17 tahun, Mason Greenwood menjadi taruhan Solskjaer untuk mengetuai jentera serangan menentang Arsenal. - Reuters

Berita Harian X