Khamis, 26 September 2019 | 8:03am
PEMAIN Manchester United, Mason Greenwood (tengah) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Rochdale pada aksi Piala Liga Inggeris di Old Trafford, sebentar tadi. - Foto AFP
PEMAIN Manchester United, Daniel James (kiri) diasak pemain Rochdale, Rhys Norrington-Davies pada aksi Piala Liga Inggeris di Old Trafford, sebentar tadi. - Foto AFP
PEMAIN Manchester United, Mason Greenwood (kanan) diasak pemain Rochdale, Jimmy Keohane pada aksi Piala Liga Inggeris di Old Trafford, sebentar tadi. - Foto AFP

United terselamat, West Ham tersingkir

LONDON: Manchester United terselamat daripada tersingkir saingan Piala Liga Inggeris menentang kelab liga ketiga, Rochdale selepas menang menerusi penentuan penalti 5-3, manakala West Ham dikejutkan dengan kekalahan 0-4 kepada Oxford sebentar tadi.

Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer yang bergelut, diikat 1-1 di Old Trafford selepas pemain berusia 16 tahun kelab Rochdale, Luke Matheson menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-76, susulan jaringan pendahuluan tuan rumah, Mason Greenwood lapan minit sebelum itu.

Berdepan bahaya tersingkir awal, United menahan tekanan sebelum menang menerusi penentuan penalti 5-3 dengan Daniel James menyempurnakan sepakan penting selepas Sergio Romero menyelamatkan tendangan penalti kedua pemain Rochdale, Jimmy Keohane.

Meskipun United berjaya mengelak daripada menerima aib di tangan pasukan di tangga ke-17 Liga Satu, persembahan buruk yang dipamerkan menimbulkan persoalan mengenai keupayaan Solskjaer untuk memberi inspirasi kepada pasukannya.

Skuad The Red Devils ketika ini berada di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan kekalahan 0-2 kepada West Ham yang menyaksikan mereka hanya mencatat dua kemenangan daripada enam perlawanan.

Sementara itu, Liverpool mudah menyingkirkan pasukan di liga ketiga, MK Dons, 2-0 dengan Harvey Elliott muncul sebagai pemain muda disenaraikan dalam kesebelahan utama untuk kelab berkenaan.

Pemain berusia 16 tahun itu berjaya mempamerkan persembahan baik pada aksi sulungnya itu dengan dua cubaan terkena palang, tatkala James Milner tiada masalah merobek gawang Stuart Moore untuk meletakkan pasukannya di depan, sebelum Ki-Jana Hoever memastikan kemenangan mutlak.

Frank Lampard dalam pada itu mencatat kemenangan pertama di laman sendiri selaku pengendali Chelsea selepas barisan muda bimbingannya membelasah pasukan divisyen keempat, Grimsby, 7-1. Ross Barkley memulakan kenduri gol itu, dengan Michy Batshuayi meledak dua kali.

Jaringan lain disumbangkan oleh Pedro, Kurt Zouma, Reece James dan sayap England, Callum Hudson-Odoi yang membuat penampilan semula selepas sembuh dari kecederaan sejak April lalu.

Di Stadium Kassam, pasukan liga ketiga, Oxford mara ke pusingan keempat buat pertama kali dalam tempoh 22 tahun selepas mencatat kemenangan sensasi ke atas West Ham. Jaringan separuh masa kedua itu masing-masing diperoleh menerusi Elliott Moore, Matty Taylor, Tariqe Fosu dan Shandon Baptiste.

Pengendali skuad The Hammers, Manuel Pellegrini melakukan sembilan pertukaran pemain termasuk memasukan lepasan akademi kelab itu, Nathan Holland namun gagal menyerlah.

Dalam pada itu, jaringan Max Power dari jarak 25 ela pada minit kesembilan membantu Sunderland mengejutkan pasukan EPL, Sheffield United, 1-0.

Bournemouth menjadi kelab ketiga dari EPL yang tersingkir pada pusingan ketiga apabila dimalukan oleh kelab liga ketiga, Burton, 2-0 dalam aksi yang tergendala sebanyak tiga kali akibat masalah lampu limpah.

Wolves pula mengatasi Reading 4-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 manakala Aston Villa mudah menewaskan Brighton, 3-1 menerusi jaringan Jota, Conor Hourihane dan Jack Grealish.

- AFP

Berita Harian X