Ahad, 22 September 2019 | 11:40pm
Pemain PKNP FC, Mohamad Hafiz Ramdan (kanan) dan Muhamad Fadhil Idris (kiri) mengekang pemain PJ City FC, Bae Beomgeun pada terakhir kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sebentar tadi. - NSTP/Muhaizan Yahya

PKNP mara ke suku akhir Piala Malaysia

MANJUNG: PKNP FC akhirnya mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas membelasah PJ City 3-0 pada aksi terakhir kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sebentar tadi.

Pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi rembatan Yashir Pinto selepas menerima hantaran Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah K Devan cuba memperkemaskan permainan, namun peluang terbaik diperoleh menerusi sepakan percuma Sergo Filho pada minit ke-25 berjaya dinafikan penjaga gol PKNP FC, Shafiq Afifi Suhaimi. 

Bermula babak kedua, anak buah Abu Bakar Fadzim terus bernafsu menambah derita pasukan pelawat menerusi sepakan kencang Khairul Asyraf Sahizah yang berjaya menerjah gawang PJ City pada minit ke-46.

PJ City yang hanya memerlukan keputusan seri untuk layak kemudiannya cuba menyaingi PKNP FC namun beberapa percubaan Safee Sali gagal menemui gawang.

Sebaliknya, PKNP berjaya memperoleh gol ketiga sekali lagi menerusi Pinto pada minit ke-62 sekali gus mengesahkan slot ke suku akhir.

PKNP akan bertemu Kedah pada pusingan suku akhir pertama yang dijadualkan berlangsung di Stadium MPM Rabu ini.

Berita Harian X