Ahad, 22 September 2019 | 11:31pm
Penyerang import Pahang Dickson Nwakaeme (tengah) diasak oleh pemain Melaka United di Stadium Hang Jebat Krubong, malam ini. - Foto BERNAMA

Pahang selesa atasi MU

MELAKA: Kebangkitan drastik Pahang pada babak kedua membolehkan skuad kendalian Dollah Salleh itu menang selesa ke atas Melaka United (MU) 3-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Kebuntuan jaringan sepanjang 45 minit pertama menyaksikan saingan kelihatan seimbang buat Melaka untuk mencipta kejutan ke atas pelawat.

Namun kelonggaran jentera pertahanan tuan rumah selain kepintaran percaturan barisan tengah dan penyerang pelawat pada babak kedua akhirnya menghadiahkan jaringan selesa buat Pahang.

MU kendalian Zainal Abidin Hassan akhirnya dibolosi pada minit ke- 56 menerusi jaringan Lazarus Kaimbi yang menanduk masuk hantaran lintang kapten pasukan Matthew Davies.

Tuan rumah terus terhukum menerusi jaringan kedua lawan hasil penyudah menarik Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dua minit selepas itu.

Ianya bermula menerusi usaha Dickson Nwakaeme yang mengelirukan dua pertahanan Melaka dan melakukan hantaran kepada Zaharulnizam yang bijak meledak ke kiri gawang lawan dan gagal diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Malah Nwakaeme turut menghadiahkan jaringan ketiga pasukannya selepas menanduk masuk hantaran Sumareh pada minit ke-61.

Keputusan terbabit memberi kelebihan buat Tok Gajah bagi mengharungi suku akhir kedua Piala Malaysia di Kuantan 29 September depan.

Berita Harian X