Sabtu, 21 September 2019 | 11:37am
PEMAIN Terengganu FC (II), Dechi Marcel (dua kanan) diasak pemain Johor Darul Takzim (JDT II), Kumaraahram Sathavisam (dua kiri) pada aksi perlawanan Separuh Akhir Pertama Piala Cabaran di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. NSTP/Ghazali Kori

TFC II pilih jalan berliku

KUALA TERENGGANU: Juara Piala Cabaran edisi pertama musim lalu, Terengganu FC (TFC II) memilih laluan berliku untuk mempertahankan gelaran itu selepas tumpas 2-1 kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II)  dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Berakhir babak pertama, skuad The Turtles kendalian Tengku Hazman Raja Hassan dan JDT II yang dibimbing jurulatih kelahiran Croatia, Ervin Boban terikat 0-0.

Sepanjang 45 minit pertama, hanya dua percubaan tepat yang dimiliki skuad pelawat menerusi tandukan kapten Nicolas Fernandez pada minit ke-35, hasil hantaran lintang Syazwan Andik Mohd Ishak.

Tuan rumah yang berazam untuk mempertahankan gelaran juara turut memperoleh peluang untuk meledak gol menerusi sepakan deras Bruno Suzuki dari luar kotak penalti pada minit ke-40, tetapi berjaya ditepis penjaga gol Haziq Nadzli.

Bekas penyerang kebangsaan kelahiran Sabah, Rozaimi Abd Rahman hampir memecah kebuntuan pada minit ke-45 selepas kuisannya berjaya memerangkap penjaga gol, Sharmiza Yusoff, namun pertahanan TFC II berjaya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Menyedari ketumpulan jentera serangan, Tengku Hazman memasukkan penyerang sensasinya, Akanni Sunday Wasiu pada babak kedua untuk memburu jaringan.

Hasilnya pada minit ke-60 hantaran dari tengah padang oleh Zuasyraf Zulkiefle singgah di kaki Suzuki sebelum pemain itu merembat kencang ke penjuru kanan pintu gol JDT II untuk mendahului 1-0.

Bagaimanapun jaringan itu tidak bertahan lama apabila pelawat menyamakan kedudukan lima kemudian menerusi tandukan mengelirukan pemain gantian, Darren Lok hasil sepakan percuma Fernandez.

Selepas jaringan itu, skuad pelawat kian bernafsu apabila berjaya menambah jaringan menerusi tandukan S Kumaahran hasil hantaran silang Fernandez pada minit ke-82 untuk menjadikan kedudukan 2-1 hingga tamat perlawanan.

TFC akan bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 27 September ini untuk perlawanan separuh akhir kedua.

Berita Harian X