Sabtu, 21 September 2019 | 11:33am
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto AFP

Klopp hormat skuad muda Chelsea

LONDON: Jurgen Klopp memberi amaran kepada Liverpool untuk bersedia berdepan saingan sengit daripada barisan muda Chelsea yang mengingatkannya kepada pasukan Borussia Dortmund yang pada satu ketikanya menggoncang bola sepak Jerman dan Eropah.

Klopp, yang akan bertandang ke Stamford Bridge esok membina pasukan dinamik sepanjang tujuh tahun bersama Dortmund yang dipenuhi bakat hebat seperti Mario Gotze, Nuri Sahin, Shinji Kagawa dan Robert Lewandowski.

Dia melihat persamaan antara pasukan Dortmund yang memenangi gelaran Bundesliga berturut-turut dan mara ke pentas akhir Liga Juara-Juara 2013, dan pendekatan digunakan Frank Lampard dalam meletakkan kepercayaan kepada pemain muda The Blues.

"Ia pasukan yang menarik, ia mengingatkan saya kepada pasukan Dortmund saya sebelum ini yang dibarisi pemain muda, malah lebih muda daripada pasukan Chelsea ini," kata Klopp.

"Ramai orang selalu bercakap mengenai betapa mudanya mereka tetapi mereka dikerahkan beraksi kerana mereka begitu bagus, dan tidak beraksi kerana masih terlalu muda.

"Mereka membawa masuk Christian Pulisic pada musim panas lalu dan mereka mempunyai pemain setanding dengannya - Tammy Abraham, Mason Mount, (Callum) Hudson-Odoi.

"Ia sebuah pasukan yang bagus. Mereka adalah pencabar daripada semua aspek."

Graduan akademi Abraham, Mount dan Fikayo Tomori semuanya menikmati permulaan hebat di bawah kendalian sulung Lampard, dengan penggantungan perpindahan ke atas Chelsea memaksa pengurus baharu mereka itu memberi peluang kepada kelompok pemain muda.

Abraham sudahpun menjaringkan tujuh gol musim ini, manakala Mount diharapkan mampu beraksi minggu ini selepas kembali pulih daripada kecederaan lutut yang dialami dalam aksi Liga Juara-Juara Rabu lalu.

Liverpool bertandang ke Chelsea selepas memenangi semua lima aksi pertama liga musim ini. – AFP

 

 

Berita Harian X